Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Aspirasi Jaujan Pada Kemajuan Bandar Sandakan

By 9 Mei 2019Tiada komen8 minit bacaan
Laporan/foto: Fauzrina Bulka & Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Sandakan merupakan antara bandar yang terbesar dan pernah menjadi ibu negeri Sabah pada zaman kolonial dahulu, dengan kepadatan penduduk dan kediaman yang ada di situ, tidak wajar jika dibiarkan bandar ini sebagai satu cerita dalam sejarah.

Lokasi Sandakan yang begitu dekat dengan negara Filipina menyaksikan ramai masyarakat Cina dari Hong Kong membanjiri Sandakan sebagai tempat berniaga pada suatu ketika.

Kemasukan beramai-ramai buruh-buruh dari negara China dan Hong Kong yang bekerja di ladang tembakau dan kelapa turut menjadikan Sandakan sebagai rumah kedua mereka dan kebanjiran masyarakat Cina yang ramai ini lah menjadikan Sandakan digelar “The Little Hong Kong”.

Berkongsi pendapat dan pandangannya sebagai Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata sebelum beliau mengambil alih Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Sandakan sememangnya sudah ada komponen untuk dijadikan sebagai salah satu Majlis Bandaraya.

Datuk Jaujan Sambakong

Datuk Jaujan Sambakong

“Sepatutnya pada Julai tahun lepas akan ada pengisytiharan untuk Sandakan menjadi bandar raya, tetapi saya minta ditangguhkan kerana saya belum dapat menyelami, menyelidik secara keseluruhan keperluan yang ada di situ pada ketika itu memandangkan kita baru mengambil alih pentadibiran kerajaan.

“Sebabnya syarat-syarat tertentu mesti dipenuhi apabila kita mahu isytiharkan bandar raya, bukan sahaja daripada segi jumlah penduduk yang mesti melebihi 250 ribu hingga 500 ribu, tetapi memiliki prasarana dan sistem pengurusan baik, akhirnya kadar percukaian dapat kita tingkatkan.

“Tiada guna dinaik taraf jika daripada kutipan hasil tidak memenuhi keperluan sebuah bandar raya. Jadi saya melihat benda ini perlu diperhalusi kerana jika diisytiharkan nanti, sudah tentu akan memberi kesan kepada bajet kerajaan,” ujar Jaujan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sudah menggesa kerajaan pusat untuk memperbesarkan lagi Lapangan Terbang Sandakan, kerana ramai pelancong tertarik ke Sandakan yang mempunyai hutan simpan, tempat terletaknya pusat rehabilitasi Orang Utan dan Monyet Proboscis.

Pemandangan pembangunan di Sandakan dari udara.

Pemandangan pembangunan di Sandakan dari udara.

Rentetan itu juga, beliau cukup yakin, sudah ada perancangan untuk diadakan penerbangan terus dari dua negara, sama ada dari China, Korea, Jepun bahkan juga kalau boleh dilakukan, daripada negara-negara ASEAN, tanpa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Bagaimana kita mahu minta penerbangan dari luar negara untuk mendarat di Sandakan sedangkan Lapangan Terbang yang ada tidak dapat memenuhi spesifikasi penerbangan antarabangsa.

“Kita memang inginkan supaya pembangunan di Sabah ini seimbang, bukan hanya tertumpu di Kota Kinabalu atau Tawau kerana Sandakan juga merupakan pintu masuk dari luar ke Malaysia.

“Dahulu memang ada penerbangan dari Filipina dan Sibu yang mana akhirnya limpahan pembangunan itu dapat dirasai ke Kinabatangan, Beluran juga ke Sugud,” ujar Jaujan.

Landasan yang perlu dipanjangkan untuk menerima penerbangan antarabangsa secara terus.

Landasan yang perlu dipanjangkan untuk menerima penerbangan antarabangsa secara terus.

Katanya, apabila beliau mengambil alih kementerian, perkara pertama ingin dilakukannya ialah menurunkan seberapa banyak kuasa di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerana sebelum ini ada perkara-perkara yang dirujuk ke Kementerian sebenarnya boleh dilaksanakan di peringkat PBT.

“Jika ini berterusan, proses kelulusan itu menjadi lambat, sedangkan pembangunan begitu mendesak untuk kita percepatkan.

“Contohnya untuk Pelan Pembangunan sahaja, saya rasa setiap hari puluhan usul yang telah dihantar, cuba bayangkan kalau dalam sebulan seluruh daerah menyerahkan 100 usul dan perlu menunggu keputusan di peringkat pusat, memang kelulusan ini akan memakan masa.

“Itu yang berlaku sehingga ada yang 10 tahun pun belum mendapat maklumat sama ada lulus atau tidak, kerana itulah kita mahu turunkan kuasa kepada PBT tetapi dengan ketetapan had.

Wajah terkini Lapangan Terbang Sandakan.

Wajah terkini Lapangan Terbang Sandakan.

“Kalau melibatkan pembangunan yang bernilai ratusan juta, itu perlu mendapat pertimbangan di peringkat pusat, kalau setakat RM20 juta ke bawah, biarlah diputuskan di peringkat PBT, supaya keperluan pembangunan itu cepat.

“Jadi, rakyat juga dapat peluang pekerjaan dan seterusnya perniagaan juga dapat cukai hasil daripada peniaga dan pemaju-pemaju perumahan dan juga pemaju-pemaju bangunan perdagangan ini,” jelas Jaujan.

Dalam pada itu, sebahagian usaha kementerian untuk memperkasakan PBT antaranya dengan penyusunan semula beberapa pegawai kerana ada antaranya yang sudah lama berkhidmat di sesuatu tempat.

“Mereka ini baik, tetapi sudah terlalu lama di situ. Kita mahu bagi mereka persekitaran baru supaya ia akan menjadi suntikan semangat dan rasa segar untuk bertugas.

Penaiktarafan yang selesa dapat dirasai oleh pelancong dalam dan luar negara.

Penaiktarafan yang selesa dapat dirasai oleh pelancong dalam dan luar negara.

“Kalau lama berkhidmat di sesuatu tempat, dia tidak akan nampak apa langkah-langkah baharu yang perlu dilakukan, dia cukup selesa datang pejabat pagi hingga ke petang tetapi tidak membuat perancangan kerana dia sudah sebati dengan suasana itu.

“Tetapi jika dia ditempatkan di tempat baharu, dia akan nampak ada kekurangan di sini, dan ada perancangan mahu menaiktaraf sesuatu tempat.

“Itu apa yang saya mahu buat susunan semula, bukan kerana prestasi tidak baik, malahan saya amat hargai jasa-jasa yang mereka pernah berikan.

“Contohnya pada Regatta Lepa, saya minta PBT untuk buat pameran makanan jamuan rakyat dan kita lihat kerjasama yang mereka berikan dengan bersemangat dan akhirnya ia menjadi satu motivasi, satu suntikan baru pada mereka,” kata Jaujan.

Kiosk yang terdapat di dalam Lapangan Terbang menyediakan bahan bacaan mengenai Sandakan.

Kiosk yang terdapat di dalam Lapangan Terbang menyediakan bahan bacaan mengenai Sandakan.

Jelasnya, pada festival yang akan datang seperti Pesta Kaamatan, Pesta Kalimaran atau Pesta Rumbia, beliau akan serahkan pada PBT supaya rakyat dapat melihat semula bahawa PBT merupakan satu pentadbiran terawal di Sabah sebelum Dewan Undangan Negeri.

“Saya menonjolkan peranan PBT ini supaya bukan sahaja mereka dilihat, tetapi realitinya merekalah penggerak pembangunan setiap daerah.

“Saya harapkan juga PBT ini supaya merancang keperluan di daerah dan saya mahu perancangan mereka tidak serupa antara satu sama lain dan perlu ada kelainan konsep, berdasarkan persekitaran setempat.

“Sebab itulah juga baru-baru ini saya sudah umumkan Tongod dan juga Nabawan untuk dijadikan PBT hijau, kerana kita tidak buat bangunan pencakar langit di situ, kita tidak banyakkan bangunan-bangunan kedai seperti bandar-bandar yang ada kerana saya mahu konsep pembangunan dengan mengekalkan habitat yang ada di situ,” katanya.

Bahan bacaan yang boleh dibeli di Lapangan Terbang Sandakan

Bahan bacaan yang boleh dibeli di Lapangan Terbang Sandakan

Harapan Jaujan, sumber kekayaan yang ada di Sabah dikekalkan sebagai sumber makanan dan tarikan pelancong yang boleh dikomersialkan, tetapi kebelakangan ini kebanyakannya dimusnahkan malahan dipalsukan.

Menurutnya, dengan kewujudan sungai yang cantik dan ikan yang unik ada baiknya diciptakan sistem tagal kerana suasana sedemikian yang amat digemari oleh pelancong luar.

“Kalau mahu suasana ciptaan, di Hong Kong, Jepun dan Korea juga punya akuarium yang lagi hebat dan boleh mereka kunjungi, tetapi kita di sini mahu kekalkan keadaan semula jadi, cuma persoalannya bagaimana cara untuk kita urus supaya kelestarian pemuliharaan dapat kita kekalkan.

“Saya sudah minta satu jawatan kuasa ad hoc, untuk mengkaji keperluan-keperluan yang ada di Tongod dan Nabawan ini, kerana daerah ini memiliki keunikannya yang tersendiri.

“Jika kita lihat Maliau Basin yang terletak di daerah Tongod, ramai penyelidik datang dari luar, tapi apa yang kita dapat? PBT tidak dapat satu sen pun.

Pelancong yang datang ke Sandakan selesa dengan fasiliti dan kemudahan yang telah dinaiktaraf.

Pelancong yang datang ke Sandakan selesa dengan fasiliti dan kemudahan yang telah dinaiktaraf.

“Sedangkan jalan raya perlu dinaiktaraf, lampu perlu ditambah, persekitaran mahu bersih dan semua itu di bawah tanggungan PBT sedangkan PBT tidak ada pendapatan, kerana itu saya minta satu kertas kerja untuk meminda dari segi perkadaran dan kita akan tugaskan PBT ini mengikut daerah, bukan lagi mengikut perkadaran,” luahnya.

Diambil sebagai contoh di daerah Semporna, kata Jaujan, pelancong yang datang pastinya semua akan ke pulau dan akan singgah sebentar sahaja di Semporna, kerajaan tempatan tidak akan dapat satu sen pun hasil, sedangkan sampah kita pungut, jeti kita perbaiki, yang dapat hasilnya ialah Kementerian Pelancongan melalui aktiviti ini.

Menurutnya juga, beliau mahu supaya pulau-pulau yang berada di Semporna diletakkan di bawah seliaan Majlis Daerah, supaya dapat memungut kadar percukaian kerana dengan memperoleh cukai hasil, tidak akan timbul lagi isu tertunggak.

“Ada yang tidak bayar cukai pintu dan cukai perniagaan, namun sebahagian perancangan yang disusun sudah dalam proses dan bukan lagi kajian, kita akan nilai balik cukai perkadaran ini kerana suda 20 tahun tidak ada penilaian yang baharu sedangkan daerah ini berkembang pesat, penduduk bertambah, tanggungjawab PBT juga bertambah, dan sudah tentu memerlukan kewangan.

Pelancong juga dapat menikmati keindahan bandar Sandakan ketika bercuti.

Pelancong juga dapat menikmati keindahan bandar Sandakan ketika bercuti.

“Kewangan PBT kita tidak boleh bergantung kepada peruntukan daripada kerajaan pusat dan negeri. Kerana itu jugalah saya mahu PBT mendapat hasil daripada sumber sendiri iaitu melalui khidmat kepada rakyat,” ulasnya.

Jaujan juga turut berminat untuk memajukan dan memulihara bandar-bandar lama untuk dijadikan sebagai bandar warisan seperti yang dilakukan di Melaka dan Pulau Pinang, namun untuk dijadikan bandar warisan ini perlulah berusia ratusan tahun dan Sandakan belum sampai tempoh itu lagi.

“Walaupun tidak menjadi bandar warisan, tetapi kita ke arah itu, sekurang-kurangnya kita suda ada langkah awal, supaya bandar-bandar lama ini bukan sahaja dikekalkan tetapi dinaiktaraf, daripada segi rupa bentuk kerana nilai sejarah itu kita ingin kekalkan.

“Maksud saya, penaiktarafan ini mungkin daripada segi akses jalan, pencahayaan lampu, bangunan itu sendiri dijadikan tarikan pelancongan baru, termasuk juga kedai-kedai kopi yang lama seperti kopitiam, yang menggunakan gelas-gelas dan pinggan mangkuk yang lama, rasa kopi pun kalau boleh diproses melalui kaedah yang lama, dihidangkan bersama roti bakar, kuih cakui , pau dan kuih lenggang.

“Lokasi ini nanti bukan sahaja untuk tarikan pelancong, bahkan orang tempatan yang masih mencari-cari di mana tempat yang sesuai untuk bertemu kenalan dan mengeratkan hubungan perpaduan,” katanya.

Pelancong tempatan dan luar pasti tidak melepaskan peluang

Pelancong tempatan dan luar pasti tidak melepaskan peluang

Tambahnya, untuk langkah awal sudah diletakkan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Peter Hii, kerana dia memahami masalah di situ, walaupun ada cabaran namun Jaujan menyokong segala usaha yang dilakukan dengan niat yang betul untuk menjadikan Sandakan sebuah bandar raya.

“Ini bukan lagi dalam perancangan kerana sekarang ini Sandakan sudah di peringkat penyusunan dan pembersihan, dalam masa terdekat kalau sudah saya puas hati, barulah kita lancarkan Sandakan itu salah satu Bandaraya baharu di Malaysia.

“Sandakan juga perlu ada satu festival sendiri seperti Regatta Lepa atau Kalimaran, ia penting supaya orang mengenali budaya kita dan supaya kita saling mengenali dan akhirnya nanti kita akan sedari betapa tingginya nilai kekayaan yang ada di bumi Sabah, ini yang perlu kita semua fahami,” kata Jaujan.

EM

Tinggalkan komen anda