Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Bahan Bercetak Masih Relevan, Boleh di Lihat, Pegang

By 17 Mei 2019Tiada komen5 minit bacaan
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Walaupun kita berada pada era teknologi ketika ini, sebenarnya bahan-bahan bercetak masih lagi relevan dan menjadi pilihan sebilangan besar masyarakat kerana ia merupakan satu dokumentasi yang nyata boleh dilihat, dipegang dan dibawa ke mana-mana.

Menurut Penolong Pegawai Penerangan, Cawangan Maklumat, Bahagian Penerbitan Dasar Negara(BPDN) Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Warman Wagiman, jika dilihat situasi ketika berada di dalam pesawat, kita tidak akan dibenarkan menggunakan alat elektronik untuk mengelakkan terjadinya isu teknikal didalam kapal terbang, maka untuk mengisi masa terluang, bahan bercetaklah yang menjadi teman setia.

Warman (kiri) ketika mendengar penjelasan Wong (kanan).

Warman (kiri) ketika mendengar penjelasan Wong (kanan).

“Ini belum mengambil kira ketika telefon bimbit kehabisan bateri, talian telefon atau Internet tidak berfungsi maka buku berbentuk fizikal jugalah yang akan membantu kita.

“Sebab itu bahan-bahan penerbitan bercetak masih relevan dan penting walau kita berada dalam era teknologi hari ini, cuma mungkin yang perlu dilihat ialah bagaimana cara penulisan yang mampu menarik minat pembaca.

“Dalam banyak hal berkaitan undang-undang, hatta di dewan parlimen pun bahan bercetak menjadi bahan bukti yang utama,”katanya selepas mengadakan kunjungan mesra bersama Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Wong Vui Yin.

Wong(dua kanan) menjelaskan mengenai corak tradisi yang digunakan sebagai hisasan pada bangunan perpustakaan.

Wong(dua kanan) menjelaskan mengenai corak tradisi yang digunakan sebagai hisasan pada bangunan perpustakaan.

Kunjungan kali pertama itu dilakukan di Perpustakaan Wilayah Tanjung Aru, yang baru sahaja beroperasi pada April lalu dengan konsep Perpustakaan Hijau.

Menurut Warman juga, kunjungan itu dilakukan bagi mendapatkan pengisian bahan penulisan untuk majalah dan buku-buku terbitan JaPen. Perpustakaan tersebut terpilih kerana reka bentuk seni binanya yang sangat unik.

Idea asal bangunan berbentuk buku yang dibuka.

Idea asal bangunan berbentuk buku yang dibuka.

“Bumbungnya direka landai untuk meletakkan panel solar dan mempunyai ruangan kecil untuk menampung air hujan menjadikannya sebuah pembangunan yang sesuai untuk di ceritakan dan dipaparkan kepada umum.

“Reka bentuk ataupun seni ukiran bangunannya pula adalah diinspirasikan daripada seni ukir dekorasi kraf etnik tempatan yang terdapat di Sabah.

“Ukiran motif tradisional etnik Murut yang dikenali sebagai ‘Nantuapan’ ini membawa maksud pertemuan ataupun mesyuarat yang mana ciri-ciri ini yang perlu kita tonjolkan dan tuliskan agar pembaca di luar tahu bahawa pembangunan yang dibina kini masih boleh menonjolkan seni budaya sesuatu tempat dan secara tidak langsung membantu mempromosikan negara kita khususnya Sabah,”kata Warman.

Buku-buku rujukan tersusun rapi di rak yang disediakan.

Buku-buku rujukan tersusun rapi di rak yang disediakan.

Begitu lah tugas-tugas kakitangan PDN dalam mencari info untuk dijadikan bahan penerbitan masyarakat yang diberi secara percuma, perkongsian ilmu dan info-info yang betul amat penting, agar rakyat memperoleh maklumat yang tepat dan terkini.

Menurut Warman lagi, tugas mereka tidaklah berat, apa yang penting mereka perlu fokus atau skop penulisan sebelum membuat sedikit kajian serta analisis menerusi pencarian bahan atau maklumat asas di laman sesawang rasmi berkaitan.

Perpustakaan masih menjadi tempat pilihan untuk menelaah, berbincang dan mencari bahan rujukan.

Perpustakaan masih menjadi tempat pilihan untuk menelaah, berbincang dan mencari bahan rujukan.

Setelah semuanya sudah diperoleh, temu janji diaturkan bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan pengesahan maklumat dari pihak berkaitan serta mendapatkan beberapa gambar menerusi sudut-sudut yang menarik sebagai bahan sokongan.

“Proses pencarian bahan penerbitan tadi begitu lancar dengan bantuan dan sokongan penuh Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah yang sangat komited, mesra dan jelas memberikan segala maklumat yang diperlukan.

Bahan cetakan tersusun rapi memudahkan proses pencarian.

Bahan cetakan tersusun rapi memudahkan proses pencarian.

“Setiap ruang umum diselusuri bermula di tingkat 5, sebelum menuruni setiap anak tangga kembali ke aras bawah atau lobi.

“Dalam perjalanan, kami dibawa singgah di setiap tingkat dan ruang umum untuk melihat dan merasai sendiri betapa hebatnya konsep baharu yang diperkenalkan hingga tidak terasa penat walaupun berada dalam bulan puasa,”ujarnya.

Ruang yang selesa dan luas, serta mudah mencari bahan tambahan menjadi kegemaran pelajar.

Ruang yang selesa dan luas, serta mudah mencari bahan tambahan menjadi kegemaran pelajar.

Warman turut mengharapkan bahan-bahan penerbitan sama ada buku-buku, risalah atau poster yang diterbitkan memberikan impak kepada rakyat untuk lebih memahami dan mengamalkan maklumat yang dipasarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

“Sesuai hasrat jabatan untuk menterjemah dan memasarkan dasar serta agenda negara supaya difahami, disokong, dihayati dan dibudayakan oleh seluruh rakyat di samping membina komunikasi, memasarkan informasi dan membentuk persepsi.

Sekiranya masyarakat ingin mendapatkan bahan-bahan penerbitan jabatan bolehlah ke Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Sabah, Tingkat 6, Wisma Dang Bandang, Kota Kinabalu (088 280600/280684) atau boleh terus ke Pejabat Penerangan Daerah di seluruh Sabah.

Wong(tiga kanan) menjelaskan penggunaan setiap ruang yang ada pada perpustakaan tersebut.

Wong(tiga kanan) menjelaskan penggunaan setiap ruang yang ada pada perpustakaan tersebut.

Dalam pada itu, Wong juga menzahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan hasil reka bentuk serta idea yang di realisasikan dalam pembinaan bangunan perpustakaan tersebut ditambah lagi dengan respons yang sangat menggalakkan daripada penduduk sekitar Kota Kinabalu.

“Sepanjang 39 tahun karier saya bersama perpustakaan, ini pertama kali saya menerima pelbagai reaksi dan persoalan yang bertanyakan tentang tarikh sebenar perpustakaan ini akan beroperasi oleh ramai pihak kerana mereka sudah tidak sabar.

Wong (kanan) bersama Ketua Perpustakaan Wilayah Tanjung Aru, Nelly Joseph Green

Wong (kanan) bersama Ketua Perpustakaan Wilayah Tanjung Aru, Nelly Joseph Green

“Minat mereka terhadap perpustakaan sangat luar biasa, Walaupun kami mendapat sokongan penuh daripada kerajaan, tetapi jika masyarakat tidak menyokong, tidak berguna.

“Oleh sebab itu apabila di awal pembukaan ada timbul isu menconteng dan sebagainya, tidak apa, kerana kami yakin kami boleh mendidik, mungkin kerana sebab ketika itu mereka belum tahu, maka dia melakukan sesuatu yang tidak elok, jadi kami boleh mengubah mereka.

Ruang yang pernah menjadi kontroversi kerana diconteng oleh pengunjung kecil.

Ruang yang pernah menjadi kontroversi kerana diconteng oleh pengunjung kecil.

“Sebenarnya, kami memang ada akta perpustakaan dimana jika anda menconteng atau merosakkan harta benda perpustakaan, kami boleh bawa ke mahkamah.

“Tapi itu bukan cara kami, kami lebih gemar untuk mendidik, melalui pendidikan kita boleh ubah sesuatu persepsi, kita boleh ubah pandangan pengunjung melaluinya,”jelasnya.

Mendidik anak-anak untuk gemar membaca sejak kecil.

Mendidik anak-anak untuk gemar membaca sejak kecil.

Katanya juga, walaupun maklumat kini dikatakan berada di hujung jari, tapi tidak semua maklumat yang kita peroleh dengan enjin carian seperti google boleh dipercayai sepenuhnya, lagipun perpustakaan sebenarnya adalah pakar kepada maklumat.

“Kami juga sedang cuba untuk meminta tambahan dana daripada kerajaan supaya perpustakaan lain di negeri ini boleh ditambahkan unsur-unsur seperti apa yang ada di Tanjung Aru agar boleh menarik balik minat membaca terutama sekali kepada generasi muda.

Warman (kanan) menyerahkan bahan penerbitan JaPen kepada Wong (tengah)

Warman (kanan) menyerahkan bahan penerbitan JaPen kepada Wong (tengah)

“Ini Kerana kita mahukan warga yang membangun, lagipun Kuala Lumpur dinamakan Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)

“Ibu negara Malaysia itu dipilih berikutan fokus yang kukuh terhadap pendidikan terangkum, pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan pembacaan yang boleh diakses oleh semua peringkat penduduk di bandar raya berkenaan.

“Kerana itu kita juga ingin merangsang dan memupuk minat membaca dan untuk memastikan semakin banyak anda membaca, lebih luas pandangan anda, visi anda juga lebih jelas, anda akan lebih sensitif dengan orang lain dan anda akan menjadi lebih yakin,”kata Wong.

EM

Tinggalkan komen anda