Skip to main content
Berita UtaraHomeKedah

ICU Santuni Golongan Tidak Berkemampuan

By 24 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis (Langkawi)

LANGKAWI, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU) mengambil inisiatif bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan yang dikenalpasti dalam sistem e-Kasih.

Menurut pengarahnya Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, Program Kasih Ramadan ini merupakan program yang julung kali diadakan oleh ICU dengan kerjasama Bank Muamalat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Lembaga Zakat dalam menyantuni golongan yang tidak berkemampuan.

“Sumbangan yang diberikan di daerah Langkawi adalah sebanyak 12 buah keluarga yang terpilih dan pada waktu yang sama turut dijalankan di daerah Baling dan Sik, manakala daerah lain akan turut sama menerima sumbangan dalam masa terdekat ini,

“Kami mempunyai pembanci yang telah pergi untuk menjejaki mereka ini dan hari ini kita dapat melihat sendiri kedudukan golongan yang telah berdaftar dengan e-Kasih, dan saya merasakan program sebegini perlu supaya kita nampak dan merasai sendiri betapa susahnya kehidupan mereka,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut, di sini semalam.

Megat Sany (dua dari kanan) bersama-sama anak yatim ketika membeli baju raya.

Megat Sany (dua dari kanan) bersama-sama anak yatim ketika membeli baju raya.

Megat menjelaskan antara lain program ini memberikan bantuan kepada tujuh orang anak-anak yatim dari Rumah Anjung Kasih, KEDA Wang Tok Rendong dengan membawa mereka membeli-belah persiapan raya di sekitar sini.

“Kerajaan sentiasa prihatin dalam memberikan bantuan sewajarnya kepada rakyat, dan kami berharap program sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Sementara itu, penerima bantuan Saidon Saimin, 74, bersyukur bantuan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung.

“Saya bersyukur sangat terpilih bagi menerima bantuan ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban sedikit pada bulan ini, lagi pula saya memang tiada sumber pendapatan selain daripada ihsan anak.

“Saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga isteri yang lumpuh hampir dua tahun,” katanya ketika ditemui.

Bagi Muhammad Hafiz Azizi Mustafa, 14, dari Rumah Anjung Kasih, dia berasa teruja dapat membeli baju raya yang baharu.

“Saya dan kawan-kawan berterima kasih kerana bagi kami peluang memilih sendiri baju yang kami suka, walaupun susah hendak cari saiz baju saya tapi saya masih bersyukur dapat baju baharu,” ujarnya.

-SH

Tinggalkan komen anda