Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePerak

Gelandangan Warga Emas Tidak Dilupakan

By 24 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Kinta)

HULU KINTA, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Gelandangan warga emas antara penghuni Rumah Seri Kenangan yang menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai pihak pada bulan Ramadan ini.

Pengurus Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Mohd Fadzil Abd Latif, berkata terdapat seramai 188 orang penghuni di sini dengan 167 orang lelaki dan 21 orang wanita, masing-masing berumur 60 tahun dan ke atas.

“Sebilangan besar penghuni rumah ini tidak sihat yang mana ada dalam kalangan mereka uzur, terlantar, separuh terlantar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan yang memerlukan rawatan.

“Kebiasaannya hampir setiap daerah di negeri ini melaksanakan Program Membantu Kutu Rayau terutama di daerah Kinta dengan program ini lazimnya diterajui oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi yang berkaitan,” ujarnya ketika ditemui, di sini semalam.

Penyampaian sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan turut diberikan.

Penyampaian sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan turut diberikan.

Menurut Fadzil, operasi yang dijalankan ini adalah usaha dalam mengurangkan bilangan gelandangan di bandaraya Ipoh yang dilihat boleh menjejaskan imej bandaraya tersebut.

“Gelandangan warga emas yang ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta ini termaktub di bawah Seksyen 3 (2) Akta Orang Papa 1977 yang menggariskan Perintah Sementara oleh Mahkamah yang mana dalam masa sebulan, pihak berkuasa akan berusaha untuk menjejak waris gelandangan tersebut untuk diserahkan semula, dan sekiranya usaha tersebut gagal, mahkamah akan memberikan Perintah Tetap di bawah Seksyen 3 (4) untuk menghuni rumah ini selama tiga tahun.

“Operasi ini hanya melibatkan gelandangan yang berwarganegara Malaysia sahaja, manakala warga asing akan diserahkan kepada Penguatkuasa Jabatan Imegresen Malaysia,” jelasnya lagi.

Pegawai Khas 1 Parlimen Tambun Baddrul Halim Abdul Wahab, sudi hadir mewakili Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada para penghuni rumah ini.

“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun membawa pendekatan sebegini bagi melihat sendiri keperluan dan menyantuni warga emas yang sebelum ini terbiar.

“Sebagai seorang warga tua, pasti mereka berasa tersisih dan diharapkan program sebegini dapat menggembirakan mereka khususnya bagi mereka yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda