
Laporan/foto: Edi Rizam Kassim
PUTRAJAYA, 13 Mei (Malaysiaaktif) – Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuatkusa mulai 9 Mei 2019 bagi menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang telah menamatkan pelantikan secara kontrak selepas bersara pada 17 Mac 2019.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media bertempat di Kementerian Dalam Negeri, sebentar tadi berkata pelantikan Datuk Mazlan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Beliau juga menyifatkan pelantikan Mazlan sebagai gandingan mantap dan akan memperkasakan lagi Polis Diraja Malaysia serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa dalam keadaan baik.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media sebentar tadi memperkenalkan Timbalan Ketua Polis baharu
Mazlan, 58, dilahirkan pada 14 Ogos 1960 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Sejak 29 Januari lalu.
Untuk rekod, sepanjang perkhidmatan dalam Pasukan Polis, beliau telah memegang pelbagai jawatan di peringkat Daerah, Negeri, dan Ibu Pejabat Bukit Aman.
Jawatan yang pernah disandang beliau antaranya Timbalan Ketua Polis Kuala Kubu Baru, Pegawai Penyiasat, Pegawai Pendakwa, Ketua bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh, Ketua Polis Negeri Melaka, Timbalan Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) dan Pesuruhjaya Polis Sarawak.