Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Program ‘Ngerandang Jalai Gawai’ Pupuk Perpaduan dan Muhibah

By 17 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

BINTULU, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Program ‘Ngerandang Jalai Gawai’ bersempena sambutan perayaan Gawai Dayak Peringkat Nasional tapak Lapangan Terbang Bintulu di sini pada 18 Mei ini bukan hanya memelihara dan mengangkat martabat adat resam, kebudayaan dan kesenian kaum Dayak.

Malahan menurut ketua publisiti sambutan itu Johnny Chuat, ianya mampu memupuk semangat setia kawan dan perpaduan muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum dan kepercayaan.

”Program ini bukan sahaja melibatkan kaum Dayak tetapi juga kaum-kaum lain di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya yang berlainan bangsa dan agama tetapi bekerja untuk menjayakan program ini sebagai satu pasukan,” katanya.

Diharapkan melalui program itu kata beliau, adat resam, kebudayaan dan kesenian kaum Dayak dapat supaya dikenali, diterima dan diiktiraf oleh kaum-kaum di negara ini sebagai khazanah kekayaan adat resam, kebudayaan dan kesenian negara.

Beliau yang dihubungi Bernama berkata, maksud ‘Ngerandang Jalai Gawai’ yang di dalam Bahasa Iban itu ialah aktiviti membersihkan jalan atau laluan menuju ke rumah panjang orang yang mengadakan sambutan Gawai supaya bebas dari sebarang malapetaka atau perkara-perkara yang tidak elok.

“Kalau di zaman dahulu, aktiviti ini hanya disertai oleh pahlawan-pahlawan yang pernah bertempur dan membunuh musuh. Ianya bagi memastikan laluan atau jalan itu bebas daripada musuh, bersih daripada semak samun dan segala halangan atau malapetaka lain agar mereka yang berkunjung untuk meraikan Gawai dapat datang dan pulang dengan selamat.

“Aktiviti membersihkan jalan yang akan turut digunakan oleh Petara (Tuhan) dan rombongan dewa dewi yang datang berkunjung ke rumah panjang yang mengadakan Gawai itu diketuai oleh seorang ‘lemambang’ atau pemuisi adat ,” kata beliau.

Seramai lebih daripada 3,000 peserta yang berpakaian tradisional berwarna warni akan berarak sejauh 1.7km ke tapak sambutan program itu.

Peserta tersebut termasuk kaum Dayak dari Hulu Kapuas dan dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia yang akan hadir dengan dua buah bas sebagai sokongan kepada pertubuhan masyarakat sivil Bintulu yang menganjurkan program itu.

Johnny memberitahu Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo dijadualkan hadir ke Program Pemimpin Bersama Rakyat – Program Sepakat Komuniti yang dianjurkan kementeriannya bagi tujuan perasmian program Ngerandang Jalai itu.

Acara menarik yang bakal menyerikan program itu meliputi persembahan kesenian dan kebudayaan Dayak dan pameran.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda