Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

KPLB Sabah Sahut Saranan Pemakaian Pakaian Bermotifkan Etnik ke Pejabat

By 21 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyahut saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berhubung pemakaian pakaian tradisional etnik Sabah ke pejabat.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan Kerajaan membenarkan penjawat awam memakai pakaian bercirikan tradisional ke pejabat sebagai pakaian rasmi pada hari-hari tertentu membuktikan komitmen kerajaan mengangkat martabat warisan budaya pelbagai etnik di negeri ini.

Ewon(lima dari kiri) beramah mesra dengan pegawai-pegawai KPLB Sabah.

Ewon (lima dari kiri) beramah mesra dengan pegawai-pegawai KPLB Sabah.

“Ini merupakan dasar baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sabah hari ini yang bukan hanya dapat memperkasakan pembudayaan warisan budaya, tetapi boleh menjadi perusahaan dan perindustrian baru kepada usahawan-usahawan busana untuk mereka bentuk atau menyediakan pakaian bermotifkan etnik Sabah yang sesuai untuk dipakai di pejabat, semasa bekerja atau menghadiri acara-acara rasmi Kerajaan.

“Pembudayaan ini juga boleh menarik minat para pelancong antarabangsa yang boleh diangkat ke persada fesyen dan busana dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi bergambar sempena hari pertama semua penjawat awam KPLB Sabah memakai pakaian tradisional ke pejabat, pada Khamis.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas pengiktirafan pakaian tradisional pelbagai masyarakat negeri ini.

“Di peringkat KPLB Sabah, kita telah memulakan dasar ini bermula pada setiap hari Khamis bermula hari ini.

“Bagaimanapun, tidak semua pakaian tradisi dengan aksesori lengkap sesuai dipakai untuk tugasan di pejabat.

“Sebab itu, kita menggalakkan para pereka fesyen tempatan menyediakan rekaan yang bersesuaian yang boleh dipakai ke pejabat untuk bekerja atau menghadiri acara-acara rasmi,” katanya.

Ewon merakamkan kenangan bersama pegawai lelaki yang segak memakai baju tradisi masing-masing.

Ewon merakamkan kenangan bersama pegawai lelaki yang segak memakai baju tradisi masing-masing.

Menurut Ewon, KPLB Sabah juga telah menawarkan kursus jahitan berkaitan batik dan baju tradisi sebelum ini di bawah Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Desa.

“Dengan dasar baru Kerajaan ini, sudah tentunya ia telah menjustifikasikan penawaran latihan kemahiran jahitan baju tradisional etnik Sabah di bawah KPLB Sabah dan membuka peluang ekonomi yang lebih besar kepada mereka,” katanya.

Ewon berkata, beliau turut menggunakan peruntukan khas beliau bagi menyediakan baju korporat bercirikan motif etnik Sabah kepada Pengerusi-Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ketua-Ketua Adat di Kadamaian.

“Pada awal tahun ini, sebelum pengumuman Ketua Menteri tersebut, semasa penutupan sambutan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada 31 Mei yang lepas, saya telah pun menyediakan peruntukan bagi membekalkan baju korporat bercirikan motif etnik Sabah kepada semua Pengerusi MPKK dan Ketua-Ketua Adat di seluruh DUN Kadamaian yang boleh dipakai untuk tugasan rasmi dan dipakai semasa acara keramaian.

“Rekaan ini disediakan oleh usahawan busana tempatan Kadamaian, saudari Jozie Ann yang mempunyai kedai busana Sinipak House di Pekan Kota Belud.

“Ini Ialah inisiatif tersendiri saya yang terpanggil mahu memartabatkan warisan budaya kita dan mengangkatnya sebagai satu pembudayaan harian dan perusahaan baru,” katanya.

Ewon merakamkan kenangan bersama antara pegawai wanita yang mengenakan busana tradisi mereka.

Ewon merakamkan kenangan bersama antara pegawai wanita yang mengenakan busana tradisi mereka.

Ewon turut menggalakkan agar sektor swasta terutama dalam sektor pelancongan dan perhotelan turut sama membudayakan pemakaian baju yang bercirikan motif etnik Sabah.

Turut hadir Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Haji Dumi Pangiran Masdal; Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, ketua-ketua dan pegawai KPLB Sabah.

-EM

Tinggalkan komen anda