Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

MAIWP Lulus Tiga Masjid dan Surau Baharu di Labuan

By 23 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 22 Jun ( Malaysiaaktif) –  Sebanyak tiga buah masjid dan surau diluluskan Projek pembinaannya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Masjid Sirajul Islam kampung Tanjung Aru, Surau Jumaat Baitul Makmur kampung Durian Tunjung dan Surau Al-Ikhlasiah kampung Belukut adalah masjid yang terlibat selain menaik taraf Masjid Jamek An Nur yang merupakan Masjid Negeri Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, keempat-empat masjid dan surau yang baharu dan dinaiktaraf itu telah melalui beberapa proses tender dan dijangka mula dijalankan pada Ogos 2019 nanti.

Mujahid (dua dari kanan) menyantuni seorang asnaf warga emas

Mujahid (dua dari kanan) menyantuni seorang asnaf warga emas

“Inilah dia antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh MAIWP dalam mengagih dan memanfaatkan wang zakat yang diterima daripada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

“Semoga para pembayar zakat akan dikurniakan ganjaran pahala berterusan daripada Allah SWT selagi mana ia dimanfaatkan oleh asnaf,” katanya.

Sehingga kini, MAIWP menawarkan bantuan zakat menerusi 28 skim bantuan yang merangkumi dalam bentuk keperluan asasi, pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan sebagainya.

Anak-anak asnaf gembira menerima duit raya

Anak-anak asnaf gembira menerima duit raya

“Bagi program berbentuk keperluan asasi di Wilayah Persekutuan Labuan, saya dimaklumkan pada tahun ini MAIWP telah memperuntukan RM7 Juta kepada 2,500 orang penerima Skim Bantuan Kewangan Bulanan.

“Usaha bagi mengagihkan wang zakat kepada lapan golongan asnaf ini akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan setiap individu yang layak mendapat bantuan zakat menerima hak mereka masing-masing,” katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Tautan Kasih Aidilfitri 2019 & Pelancaran Pembinaan Masjid/Surau Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Beliau turut berharap dengan langkah proaktif yang dilakukan oleh MAIWP itu sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan di dalam usaha untuk membasmi kemiskinan di kalangan ummah khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pada majlis itu juga, Mujahid menyampaikan Anugerah Tokoh Asnaf 2019 kepada Norazlan Mahmood yang merupakan penerima Skim Bantuan IPT Luar Negeri selama lima tahun semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah.

Mujahid dan tetamu jemputan bergambar kenangan bersama kira-kira 5,000 warga Labuan

Mujahid dan tetamu jemputan bergambar kenangan bersama kira-kira 5,000 warga Labuan

Kini beliau berkhidmat sebagai Pegawai Agama di Petronas Chemical Methanol Sdn. Bhd. Wilayah Persekutuan Labuan dan telah mendirikan rumahtangga pada tahun 2008 serta dikurniakan empat orang cahaya mata.

Dalam pada itu,  agihan duit raya turut diberikan kepada anak- anak asnaf berjumlah RM10,000.

Hadir sama Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Abdul Aziz Jusoh.

-EM

Tinggalkan komen anda