Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Rumah Peduli Bantu Golongan Kurang Berkemampuan

By 11 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noraidah Mat Seh/Nur Fariza Farnoh (Jasin)

JASIN, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Berlangsung petang semalam majlis Pelancaran Program Rumah Peduli Negeri Melaka oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertempat di Lipat Kajang, Jasin.

Perdana Menteri Malaysia,  Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya menyatakan program yang dilaksanakan ini adalah salah satu janji yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan iaitu membina rumah untuk rakyat. Dalam jangka masa 10 tahun satu juta buah rumah akan dibina. Ini bermakna setiap tahun 100 ribu buah rumah akan dibina.

“Dengan usaha kerajaan pusat dan negeri, banyak rumah mampu milik dapat dibina dan sistem ini dilihat lebih baik kerana Rumah Peduli ini berharga RM40 ribu sahaja dan harga ini dapat membantu rakyat untuk membeli rumah sendiri.”

Rumah Peduli jauh lebih murah daripada perancangan-perancangan yang lain dan sistem ini diharapkan agar dapat diguna pakai di negeri-negeri lain.

Dengan adanya rumah yang murah ini golongan miskin dapat memiliki rumah sendiri ataupun dapat menyewa rumah bagi mendapatkan kehidupan yang lebih selesa.

Tun Dr. Mahathir juga mengingatkan bahawa rakyat yang bergantung sepenuhnya dengan kerajaan utnuk membiayai kehidupan mereka akan menyebabkan rakyat dan kerajaan menjadi miskin kerana orang yang bekerja dan menjana keuntungan serta memperkayakan negara sudah tinggal sebagai orang yang bergantung kepada kerajaan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat tetapi bantuan itu hanya diberi sekiranya kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk membantu rakyat.  Sekiranya rakyat tidak bekerja dan tidak menjana kekayaan serta membayar cukai kepada kerajaan, keadaan ini akan menyebabkan kerajaan semakin lama menjadi miskin dan tidak dapat membantu rakyat lagi,” ujar Mahathir dalam Perasmian Program Rumah Peduli petang semalam.

Dalam program ini seramai tujuh orang mendapat surat tawaran Rumah Peduli yang disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir.

Hadir sama dalam majlis ini Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Hasim Hasan.

Perdana Menteri meninjau rumah Peduli Melaka.

Perdana Menteri meninjau rumah Peduli Melaka.

 

-KN

Tinggalkan komen anda