Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Sambutan ‘GuGaRa’ Dirai Penuh Meriah

By 17 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang/Ryan Blaise EJA (Sarawak)

MUKAH, 17 Jun  (Malaysiaaktif) – Mengambil kesempatan perayaan Hari Raya dan Hari Gawai, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian Mukah mengadakan Sambutan Hari Guru dan Gawai Raya (GuGaRa) peringkat sekolah. Majlis tiga dalam satu tersebut diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Mukah.

Bagi memeriahkan majlis tersebut, Kelab Wushu sekolah yang pernah meraih Juara Keseluruhan dalam Pertandingan Wushu Peringkat Daerah Mukah pada bulan April lepas dan pernah menyumbang  24 pingat emas  ketika mewakili Kontinjen Bahagian Mukah dalam Kategori Wushu Sekolah Rendah semasa Karnival Kesenian Cina Peringkat Negeri Sarawak yang lepas membuat persembahan yang memukaukan kepada para hadirin.

Kelab Kebudayaan Sekolah Tarian juga turut membuat persembahan tarian joget. Para penari kelab pernah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Tarian Sekolah Rendah Peringkat Daerah Mukah baru-baru ini.

Salah seorang peserta prasekolah menyertai Peragaan Fesyen Gawai Raya Prasekolah

Salah seorang peserta prasekolah menyertai Peragaan Fesyen Gawai Raya Prasekolah

Selain itu, seramai 15 pelajar prasekolah turut membuat persembahan Peragaan Fesyen Gawai Raya Prasekolah yang berkonsepkan kitar semula. Sambutan GuGara turut diselitkan dengan bacaan Ikrar Hari Guru dan nyanyian Lagu Kami Guru Malaysia serta Pendidik Bumi Kenyalang.

Bagi simbolik setiap perayaan pula dilakukan dengan mencantas ‘ranyai Gawai’ bagi sambutan Hari Gawai, memotong nasi pulut kuning bagi sambutan Hari Guru oleh warga pendidik manakala sambutan Hari Raya pula, penyampaian wang raya kepada setiap murid oleh Latifah Zaini.

Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Pengelola, Latifah Zaini merangkap Naib Yang Di-Pertua PIBG SK Kampung Tellian Mukah menyatakan Sambutan Hari Guru ini  harus diraikan  bersama oleh murid, ibubapa dan masyarakat sebagai pengiktirafan kepada guru.

“Pada kesempatan ini saya juga ingin menyampaikan hasrat hati dan harapan kami sebagai ibubapa agar guru-guru SK Kg Tellian pada hari ini terus komited dan sentiasa berusaha menjadi guru yang kreatif,  tidak kenal penat lelah dalam mendidik anak bangsa, sentiasa peka serta sedar bahawa segala ilmu yang dicurahkan boleh merubah kehidupan,” katanya.

Dalam ucapan perasmian, Syazana Abdullah @ Rupina binti Tambi, Guru Besar SK Kampung Tellian,  merakamkan penghargaan kepada exco PIBG sekolah kerana berjaya menganjurkan majlis Sambutan GuGaRa. Beliau amat terharu dan merasa bertuah kerana mempunyai barisan PIBG yang komited serta hebat melaksanakan penganjuran seumpama itu.

“Tugas sebagai pendidik ibarat berada di sebuah ladang, guru menanam benih-benih keinsanan, menyiram air kasih sayang, membajainya dengan luhur budi agar terus subur dan membesar dengan sempurna. Pohon membesar dengan sempurna itu pula akan menghasilkan buah bakti yang akan terus memberi manfaat kepada orang lain.

 warga pendidik, murid dan ibubapa menjamu selera di kawasan terbuka Dewan Kampung Tellian

warga pendidik, murid dan ibubapa menjamu selera di kawasan terbuka Dewan Kampung Tellian

“Alangkah besar pengorbanan dan tugas seorang guru. Jika dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti ganjaran besar akan menanti di alam yang kekal abadi,” tambah beliau lagi.

Pada majlis itu juga, Latifah Zaini mewakili PIBG SK Kampung Tellian menyampaikan Hadiah Hari Guru manakala Abdul Khalid Mahdi,  Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan Ibubapa Prasekolah (JPIP)  juga turut menyampaikan hadiah kepada semua guru.

Sambutan tersebut diakhiri  Berambeh Gawai Raya dengan pelbagai  juadah yang dibawa sendiri oleh para guru dan ibubapa.

Tinggalkan komen anda