Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

4 Maut, 18 Cedera “Tsunami” Badai Teluk Bahang

By 28 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ahmad Faiz Bin Mansur/ Azimee Bin Abdullah (Daerah Barat Daya)

TELUK BAHANG, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 4 orang maut dan 18 lagi dilaporkan cedera apabila kejadian “Tsunami” melanda kawasan perkampungan nelayan di Teluk Bahang. Kawasan yang terlibat adalah di Kampung Teluk Awak, Kampung Bangsal Rawai dan sekitar Pantai Teluk Bahang. Walaubagaimanapun, kejadian tersebut hanyalah latihan simulasi dalam Program Latih Amal Bencana Gempa Bumi dan Tsunami yang berlangsung di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Program yang dianjurkan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya serta pelbagai agensi di dalam negeri Pulau Pinang antaranya pihak Polis Diraja Malaysia, Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Pertahanan Awam, Kesihatan, Jabatan Penerangan, dan pelbagai lagi jabatan yang turut terlibat dalam menjayakan program ini.

Anggota Bomba sedang menjalankan tugas di pusat operasi bencana

Anggota Bomba sedang menjalankan tugas di pusat operasi bencana

Simulasi ini diadakan seperti mana suasana sebenar berlakunya kejadian Tsunami. Penduduk-penduduk terlibat diarahkan berpindah ke pusat pemindahan dan pasukan keselamatan ditugaskan melakukan kerja-kerja menyelamat serta mengesan mangsa yang terlibat dengan kejadian tsunami tersebut.

Anggota paramedik sedang melakukan kerja menyelamat mangsa Tsunami

Anggota paramedik sedang melakukan kerja menyelamat mangsa Tsunami

Pegawai Daerah Barat Daya, Tuan Mohd Hafiz Aswad Bin Nadzri yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Barat Daya ditemui berkata, “Program yang diadakan pada hari ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat dan tindakan yang diperlu dilakukan oleh semua pihak dan masyarakat setempat dalam menghadapi bencana.” Beliau juga mahu masyarakat setempat terutamanya golongan kanak-kanak lebih peka dan tidak panik dalam menghadapi sesuatu bencana serta memahami peranan anggota keselamatan dalam menjalankan kerja-kerja menyelamat ketika berlakunya sesuatu bencana.

Perasmian penutup Program Latih Amal Bencana Gempa Bumi dan Tsunami berkenaan dilaksanakan oleh Yang Berhormat Tuan Zolkifli Bin Mad Lazim, Adun Teluk Bahang.

-II-

Tinggalkan komen anda