Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Alumni SMK Sanzac Dilancar 20 Julai Ini

By 10 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Sempena sambutan jubli emas pada tahun ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac akan melancarkan persatuan alumninya pada 20 Julai ini.

Pelancaran akan disempurnakan dalam majlis makan malam sambutan 50 tahun sekolah itu oleh isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang juga alumni sekolah berkenaan pada tahun 1978.

Pengerusi Alumni SMK Sanzac, Noor Salleh Tamanong yang ditemui di Istana Negeri, pada Selasa, menjelaskan, antara tujuan penubuhan persatuan adalah untuk mengumpulkan semua bekas pelajar sekolah berkenaan, di samping dapat mengeratkan silaturahim sesama ahli.

“Pesatuan ini telah didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan akan dilancarkan pada Majlis Makan Malam Jubli Emas SMK Sanzac oleh Toh Puan Norlidah.

“Kita berusaha untuk mengumpulkan seberapa banyak ahli menerusi borang yang akan diedarkan kepada kira-kira 300 jemputan pada malam itu nanti.

“Turut diundang pada malam itu ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusuf Yacob,” jelasnya selepas mengadakan kunjungan hormat.

Dalam pada itu, Pengetua Cemerlang, Dr Shirley Tay Siew Hong mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam program larian ‘Sanzac Fun Run 5 KM’ yang bermula di sekolah tersebut menuju ke Tanjung Aru dan berpatah balik melalui jalan di hadapan Masjid Negeri Sabah dengan yuran serendah RM60 seorang.

Dalam kunjungan berasingan, Toh Puan Norlidah juga menerima kunjungan rombongan Koperasi Usahawan Sandakan Berhad yang diketuai Pengerusinya, Noraini Sulong untuk menjemput beliau merasmikan Makan Malam Amal di Sandakan pada 7 September ini.

Noraini (kiri, depan) bersama rombongan Koperasi  Usahawan Sandakan Berhad dengan Toh Puan Norlidah (tengah)

Noraini (kiri, depan) bersama rombongan Koperasi Usahawan Sandakan Berhad dengan Toh Puan Norlidah (tengah)

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, kita telah banyak bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan serta swasta dalam memajukan usahawan wanita khususnya di Sandakan.

“Menerusi koperasi ini, pelbagai program keusahawanan telah kita jalankan termasuk menjadi mentor kepada Bank Rakyat untuk membimbing golongan wanita dalam perniagaan,” ujarnya.

Tambah Noraini, koperasi itu bakal mengadakan seminar sehari dengan jangkaan kehadiran 500 usahawan dari dalam dan luar daerah yang akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, pada 27 Julai ini.

-SH

Tinggalkan komen anda