Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Banjir Kilat Jalan Rawang-Bestari Jaya Semakin Berkurang – ADUN Rawang

By 25 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Banjir kilat yang sering melanda Jalan Rawang-Bestari Jaya (B27) dijangka berkurang selepas kolam takungan siap September ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata sebelum ini banjir sering kali berlaku di kawasan itu sekiranya berlaku hujan lebat kerana Sungai Gong tidak mampu menampung air yang banyak dan keadaan jalan pula rendah.

“Kejadian banjir kilat semakin berkurangan cuma keadaan itu tidak dapat dielakkan berikutan projek pelebaran sungai dan jalan masih berjalan, ianya dijangka selesai pada 2021.

“Perkembangan yang baik ini kerana kontraktor yang dilantik melaksanakan tanggungjawab mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, hujan lebat yang berlaku pada Isnin dan Rabu lalu menunjukkan limpahan air dari Sungai Gong hanya memasuki kawasan jalan dan tidak menjejaskan unit rumah kedai berhampiran.

Keadaan jambatan di anak Sungai Gong dipercayai dibina tanpa kelulusan bakal dirobohkan secepat mungkin kerana berisiko.

Keadaan jambatan di anak Sungai Gong dipercayai dibina tanpa kelulusan bakal dirobohkan secepat mungkin kerana berisiko.


 

“Hujan luar jangka punca banjir kilat Isnin lalu dan semalam, namun penduduk maklumkan air surut cepat kurang 30 minit.

“Namun, kesannya mampu dikurangkan lagi dengan siapnya kolam takungan banjir yang dijangka September ini,” katanya semasa membuat tinjauan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) hari ini.

Dalam perkembangan sama, Wei Kiat memaklumkan sebuah jambatan yang merentangi anak Sungai Gong berhampiran tol Rawang bakal dirobohkan dalam masa terdekat.

“Jambatan tersebut dipercayai dibina tanpa kelulusan dan tidak mengikut spesifikasi yang boleh berisiko menyebabkan banjir kilat.

“Aliran air tersekat akibat banyak sampah kerana saluran (palong) yang sempit menyebabkan ianya melimpah hingga berlaku banjir kilat berhampiran kawasan tol Rawang Isnin lalu.

“JPS Gombak akan menyemak status jambatan tersebut dan sekiranya dibina tanpa kelulusan ia akan dirobohkan secepat mungkin,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda