Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Bantuan Kepada Nelayan Selari Dengan Wawasan Penang 2030

By 29 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ariza Mohamed Zaki (Seberang Prai Utara)

PENAGA, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, YB Afif Bahardin bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM) telah mengadakan satu majlis penyerahan baucar bantuan nelayan pesisir pantai negeri Pulau Pinang bagi tahun 2019 yang bertempat di dewan orang ramai Titi Mukim.

Program yang telah dijalankan sejak tahun 2017 diteruskan lagi dan memberi peluang kepada seramai 536 nelayan yang terdiri daripada daerah Seberang Prai Utara dan Seberang Prai Tengah untuk membeli peralatan atau perkakasan seperti pukat tangsi atau nylon, tangkul udang lipan, tali pukat, tong ikan, pelampung dan lain-lain lagi dengan nilai bantuan pembelian sebanyak RM400 seorang.

536 nelayan hadir untuk menyaksikan majlis perasmian

536 nelayan hadir untuk menyaksikan majlis perasmian

Majlis perasmian diwakili oleh Pegawai Penyelaras KADUN Penaga, Encik Md. Khalil Salleh. Beliau berkata “Dengan bantuan ini akan dapat meringankan sedikit bebanan kewangan para nelayan.” Selain itu  menurut beliau, inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan satu kaedah untuk membantu nelayan pesisir pantai yang merupakan aset penting kepada negeri Pulau Pinang dan penerimanya mestilah mempunyai lesen yang sah dan berstatus aktif berdasarkan rekod dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

Pendaftaran nelayan yang sah oleh LKIM

Pendaftaran nelayan yang sah oleh LKIM

Penerima bantuan Tam Poo Tian, 65 tahun dari Bagan Ajam berkata, “Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah meluluskan bantuan ini.” Dengan itu, dapatlah beliau membeli pukat baru yang telah rosak. Beliau mempunyai sebuah bot sepanjang 22 kaki akan keluar ke laut bermula dari pukul 7.00pagi sehingga 3.00 petang dengan dibantu oleh seorang lagi pekerja.

Program baucar bantuan nelayan pesisir pantai negeri Pulau Pinang telah melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1, 020,000 untuk diagihkan kepada nelayan yang telah dikenalpasti.

-II-

 

Tinggalkan komen anda