Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Bengkel Melestari Warisan Budaya Bangsa Bentuk Generasi Pelapis

By 30 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

KUCHING, 30 Jul (Malaysiaktif) – Buat julung kalinya Persatuan Melanau Kuching (PMK)  mengadakan Bengkel Tarian dan Muzik Tradisional Melanau pada 27 dan 28 Julai baru-baru ini, bertempat di Wisma Melanau Kuching.

Bengkel yang dianjurkan secara kerjasama ini merupakan perintis kebudayaan bagi memastikan khazanah budaya bangsa kaum Melanau tidak pupus ditelan arus zaman. Meskipun wujud tarian moden serta alat muzik baharu namun kaum Melanau cuba mempertahankan warisan seni berzaman ini agar  terus kekal relevan, dikenali serta dipelopori oleh generasi baharu.

Bengkel  anjuran  bersama Majlis Adat Istiadat Sarawak dengan Persatuan Melanau Kuching serta Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak sebagai titik permulaan bagi menghidup budaya bangsa.  Inisiatif ini juga adalah untuk membentuk barisan pelapis serta menampilkan barisan baru terutama dalam bidang tarian dan pemain muzik tradisional.

Seramai 55 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak dari usia 10 tahun hingga ke warga emas berusia 85 tahun mengikuti bengkel yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu tarian dan muzik tradisional.

Kumpulan penari terdiri dari kanak-kanak dan dewasa mengikuti tunjuk ajar dari jurulatih Salman Tuna

Kumpulan penari terdiri dari kanak-kanak dan dewasa mengikuti tunjuk ajar dari jurulatih Salman Tuna

Manakala sesi bengkel dibahagikan kepada empat segmen  iaitu pengenalan asas tarian dan alat muzik, sejarah hubungan tarian dengan kehidupan Melanau, praktikal tarian dan bermain alat muzik serta persembahan kumpulan.

Gabungan tiga generasi ini telah berjaya membentuk dan mencungkil bakat-bakat baru bagi meneruskan legasi budaya bangsa. Melalui tunjuk ajar saudara Salman Tuna yang didatang khas dari Mukah bagi membimbing serta memberi pengetahuan tentang jenis-jenis tarian, cara-cara memukul alat muzik seperti gong, canang, tawak dan rebana.

“Saya gembira kerana dapat mengikuti bengkel ini dan amat berpuashati dengan tunjuk ajar jurulatih. Inilah pertama kali dalam hidup saya ,mengikuti bengkel budaya yang memberi pendedahan asas dan praktikal,” kata Nur Raifana Abdullah.

Bagi Hippolinus Hipni Mun selaku Ketua Biro Kebudayaan Persatuan Melanau Kuching, beliau amat berpuas hati dengan penglibatan golongan muda dan tua dalam bengkel tersebut.

“Komitmen serta penglibatan proaktif peserta menunjukkan matlamat bagi membentuk barisan pelapis warisan budaya Melanau di Bahagian Kuching  ini telah tercapai dan kami akan meneruskan program seperti ini pada masa-masa akan datang,” ujar Hippolinus lagi.

Bagi John Ling Tira, selaku Pegawai Penyelidik Bahagian Kaum Melanau dari Majlis Adat Istiadat Sarawak sangat berpuas hati dengan sambutan serta penglibatan peserta selama dua hari tersebut.

“Tujuan utama bengkel ini adalah untuk mendedah generasi lama dan baharu tentang susur-galur dan sejarah tarian serta alat muzik Melanau. Generasi baru harus didedahkan agar mereka dapat meneruskan legasi warisan bangsa ini pada masa-masa akan datang,” tambah John Ling lagi.

Di dalam ucapan majlis penutupan, YB Yussibnosh, ADUN N57 Tellian yang juga Presiden Persatuan Melanau Kuching berharap generasi tua dan muda bergabung tenaga bagi memastikan tarian serta muzik tradisional Melanau ini terus hidup.

Para peserta merakam gambar kenangan selepas tamat bengkel

Para peserta merakam gambar kenangan selepas tamat bengkel

Beliau sentiasa menyokong usaha-usaha murni yang dilakukan oleh Persatuan Melanau Kuching, Majlis Adat Istiadat Sarawak dan Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau bagi memastikan tarian dan muzik tradisional ini malar segar serta dimainkan di dalam majlis-majlis tertentu.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Datuk Aidan Wing, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak. Beliau kagum melihat komitmen dan usaha berterusan yang dilakukan oleh Exco Persatuan Melanau Kuching dalam menjayakan program-program yang berkaitan budaya bangsa.

Tinggalkan komen anda