
Laporan/foto : Norsaedah Haron, Abassalimi Mohamad/Mohd Najib Mohaini (Kluang)
KLUANG, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Keunikan dodol pelbagai perisa menjadi tarikan dalam Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 yang berlangsung di SMK Seri Kota Paloh, Kluang hari ini.
Sebanyak 20 agensi menyertai program “Dodol Challenge” melibatkan jabatan kerajaan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan mukim-mukim dalam daerah Kluang.
Antara perisa dodol yang disediakan ialah perisa asli, pandan, nenas madu, ubi, durian dan sebagainya.
Menurut salah seorang peserta Dodol Challenge, Yusuf Fazil dari Pejabat Pendidikan Islam, beliau dan rakan-rakan sangat teruja menyertai program yang diadakan bersempena dengan KMJ 2019 kerana ia menampilkan konsep tradisional dalam penghasilannya iaitu memasak menggunakan kayu api.
Kemeriahan program kali ini dapat dirasai dengan sambutan ketibaan konvoi oleh rakyat jelata yang telah berkumpul di sekitar sekolah sejak jam 7 pagi lagi.
Mereka begitu bersemangat dan teruja untuk bertemu dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta seluruh rombongan KMJ 2019.
Sebaik keberangkatan tiba, Sultan Johor dan rombongan KMJ telah dibawa menyertai acara yang telah diatur di peringkat daerah.
Sultan Ibrahim telah berkenan berangkat menaiki buggy untuk menyaksikan acara Dodol Challenge yang diadakan di tapak program di dalam kawasan sekolah dan baginda turut menyertai acara mengacau dodol bersama rakyat.
Sementara itu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah telah berkenan berangkat ke Dataran Kejat SMK Seri Kota Paloh untuk menyertai acara mewarna mural dan mewarna bersama kanak-kanak pra sekolah.
Permaisuri Johor juga telah berkenan mengurniakan sumbangan kepada penerima yang terdiri daripada pesakit-pesakit kanser, pelatih pemulihan dalam komuniti serta mengurniakan sijil kepada tiga orang pelajar cemerlang dari SMK Seri Kota Paloh.
Sementara itu, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah telah dibawa ke kebun kelapa sawit milik sekolah untuk menyertai demonstrasi membaja serta melihat pameran produk dari agensi seperti FELDA, FELCRA dan MPOB.
Dalam pada itu, di khemah santapan, Baginda Sultan Johor serta rombongan KMJ 2019 menyaksikan persembahan Tambo dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga pertunjukan payung terjun dari Rejimen Grup Gerak Khas Mersing serta persembahan nyanyian solo.
Kunjungan Baginda dalam edisi KMJ kali ini di daerah Kluang telah mengeratkan lagi hubungan kerabat Diraja bersama rakyat.
-NI-