Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantanMA

PeKa Inisiatif Kesihatan Golongan B40

By 9 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto Nur Shafira Mat Hussin/ Khairil Azlan (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 9 Jul (Malaysiaaktif) – “Lebih 50,000 peserta bakal menerima manfaat PeKa B40 bagi Negeri Kelantan, namun pengatahuan perihal inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini masih minima di negeri ini, ” kata Dr Haslin Abdul Wahab, Pegawai Perubatan dan Kesihatan Klinik Kesihatan Cherang Ruku, Pasir Puteh.

Menurut Haslin, antara negeri yang aktif dalam mendaftarkan peserta dan penyertaan untuk saringan Skim Peduli Kesihatan (PeKa) untuk golongan B40 adalah Sarawak, Pulau Pinang dan Kedah. Rakyat Malaysia disarankan  mengambil peluang untuk mendapatkan inisiatif ini yang mana ia bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

“PeKa B40 ini merupakan projek perintis yang dilaksanakan secara berfasa di seluruh negara dan diberikan secara percuma kepada peserta yang layak”

PeKa B40 menggariskan empat manfaat yang ditawarkan iaitu manfaat Saringan Kesihatan, Bantuan Alat Perubatan, Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser dan Insentif Tambang Pengangkutan dimana setiap manfaat akan memberikan faedah tersendiri, sebagai contoh manfaat bantuan alat perubatan adalah maksimum sebanyak RM20, 000 seumur hidup yang akan mana ia akan diberikan dalam bentuk alatan perubatan seperti alat sendi tiruan dan kerusi roda.

“Ramai tidak tahu melalui PeKa B40, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka yang berdaftar serta berusia 50 tahun ke atas pada 2019, layak secara automatik untuk menyertai skim itu”

Penerima BSH boleh mengunjungi klinik kesihatan dan klinik swasta yang mempunyai pelekat khusus PeKa B40 untuk menjalankan saringan kesihatan. Penglibatan klinik swasta dalam skim ini menonjolkan kebersamaan dua pihak untuk sama-sama membantu golongan berpendapatan rendah.

Dr Haslin yang ditemui dalam Program Hari Sivik anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pasir Puteh menyampaikan taklimat mengenai PeKa B40 ini kepada penjawat awam, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan masyarakat setempat di Kampung Kuala Semerak, Pasir Puteh dekat sini.

Hadir sama dalam program tersebut adalah Pengerusi Ahli Panel Penasihat (APP) Klinik Kesihatan Cherang Ruku, Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar, yang turut menyeru agar penerima BSH segera merebut peluang yang di berikan oleh kerajaan dalam usaha meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Orang ramai boleh membuat semakan kelayakan menerusi laman sesawang http://pekab40.com.my/ bagi mengetahui perkembangan terkini serta senarai klinik yang berdaftar bagi membuat ujian saringan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda