Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pusat Maklumat Rakyat UTC Sabah Beroperasi Setiap Hari

By 9 Julai 2019Julai 11th, 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Hamizah Yusoff/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Pusat Maklumat Rakyat (PMR) yang terletak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah yang memulakan operasinya pada 1 Mei yang lalu kini beroperasi sepenuhnya sepanjang minggu bermula Isnin hingga Ahad.

Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah Yunus Saprin, ketika ditemui pada Program ‘Jom Kenali PMR’ berkata penyelarasan waktu operasi tersebut selaras dengan mentransformasi dan mengintegrasi pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung bersama-sama agensi lain.

“Program yang dijalankan pada hari ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan terutamanya kepada pelajar yang hadir mengenai hala tuju dan tujuan utama PMR ini di perkenalkan di UTC Sabah.

“Pelajar juga boleh mendapatkan bantuan daripada kakitangan yang bertugas bagi memperoleh maklumat mengenai dasar-dasar negara atau menggunakan perkhidmatan komputer dengan capaian internet secara percuma,” ujarnya.

Zahir ketika menyampaikan taklimat mengenai perkhidmatan UTC.

Zahir ketika menyampaikan taklimat mengenai perkhidmatan UTC.

Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh PMR di UTC ini ialah pengedaran bahan penerbitan JaPen, poster pemimpin tertinggi negara serta poster kempen-kempen rasmi kerajaan.

Bukan itu sahaja, PMR menawarkan bantuan perkhidmatan secara atas talian bagi permohonan pekerjaan untuk orang awam serta penggunaan untuk pendidikan bagi pelajar sekolah dan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT).

PMR juga melaksanakan aktiviti outreach melalui aktiviti JaPen, Agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) , swasta, Kelab Malaysiaku dan Komuniti Harapan Malaysia.

Pada program tersebut, Ketua Jabatan UTC Sabah Zahir Ridwan, turut menyampaikan taklimat mengenai perkhidmatan yang disediakan di UTC.

Peserta program menggunakan perkhidmatan komputer dan internet secara percuma di PMR UTC.

Peserta program menggunakan perkhidmatan komputer dan internet secara percuma di PMR UTC.

Menurut Zahir, UTC merupakan salah satu usaha dan inisiatif kerajaan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan terutamanya dalam sektor kerajaan serta swasta kepada komuniti bandar dalam satu bangunan yang sama.

“UTC Sabah menghimpunkan sebanyak 34 jabatan dan 10 kluster perkhidmatan yang ditawarkan antaranya perkhidmatan Gunasama Kerajaan, Kesihatan, Keselamatan, Pendidikan, Latihan dan Pekerjaan serta Kewangan.

“Perbadanan Pinjaman Sabah merupakan agensi tempatan yang dilantik oleh kerajaan persekutuan dan negeri untuk mentadbir dan mengurus UTC Sabah yang mana waktu operasi UTC setiap hari adalah dari 10.00 pagi hingga 7.00 malam (Isnin hingga Jumaat), manakala bagi hari Sabtu dan Ahad bermula dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Saya mengharapkan dengan kemudahan perkhidmatan yang dihimpunkan di UTC ini dapat membantu masyarakat mendapatkan maklumat serta menyelesaikan urusan mereka dengan lebih mudah dan cepat,” katanya.

Noorayah (kanan) menerangkan risalah yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan kepada salah seorang guru pengiring.

Noorayah (kanan) menerangkan risalah yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan kepada salah seorang guru pengiring.

Program ‘Jom Kenali Pusat Maklumat Rakyat’ ini menerima penyertaan dari tujuh buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu bagi mengimarahkan PMR yang beroperasi di UTC Sabah.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam, SMK Pulau Gaya, SMK Bandaraya, SMK Kolombong dan SMK Limbanak, Penampang.

Aktiviti lain yang turut disediakan kepada pelajar dalam program ini termasuklah aktiviti berkumpulan, kuiz interaktif serta pelajat turut dibawa melawatan ke agensi yang berada di UTC Sabah antaranya Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan TMpoint.

Hadir sama, Pengurus PMR UTC Sabah, Noorayah Ganipin serta Pegawai Penerangan Bandaraya Kota Kinabalu, Peter Tong Ah Pin.

-SH

Tinggalkan komen anda