Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraMA

Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Negeri Perlis Tawar Hadiah RM16,000

By 19 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Dalam usaha untuk menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan, Jabatan Penerangan Negeri Perlis mengajak orang ramai yang berumur diantara 18 hingga 70 tahun untuk menyertai Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2019.

Pertandingan yang merupakan program tahunan JaPen sejak tahun 2010 ini bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara di samping meningkatkan kesedaran dan penghayatan kemerdekaan sama ada secara individu ataupun organisasi melalui cetusan kreativiti dalam menyampaikan informasi kenegaraan.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Mohd Nor Hidayat Bidin, sebanyak sembilan kategori dipertandingkan iaitu bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampong, sekolah menengah, sekolah rendah, taman perumahan, individu, pintu gerbang dan universiti awam.

“Di sini kami ingin melihat kreativiti para peserta dalam menceriakan dan menghias premis kediaman mereka dengan cetusan idea yang unik serta menonjolkan daya tarikan kepelbagaian reka bentuk menggunakan bendera bukan hanya sekadar mengantung atau memacak bendera Jalur Gemilang semata-mata,” ujarnya.

Menurut Hidayat lagi, borang penyertaan boleh didapati di Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Jabatan Penerangan Negeri Perlis atau boleh di muat turun dari laman sesawang rasmi Jabatan Penerangan Malaysia di www.penerangan.gov.my.

Para peserta perlu menyerahkan borang penyertaan ke Pejabat Penerangan Negeri Perlis sebelum atau pada 31 Julai 2019 dan tempoh penilaian juri di peringkat negeri akan bermula pada 25 Ogos hingga 2 September 2019.

“Hadiah berjumlah RM1,000 ditawarkan untuk kategori bangunan kerajaan, bangunan swasta serta individu manakala untuk kategori kampung tradisional dan kategori taman perumahan masing-masing menawarkan hadiah berjumlah RM2,500.

“Bagi kategori pintu gerbang, sekolah menengah, sekolah rendah serta universiti awam pula hadiah berjumlah RM2,000 ditawarkan kepada pemenang setiap kategori,” ujarnya lagi.

Para pemenang di peringkat negeri akan dinilai untuk dipertandingkan pada peringkat kebangsaan.

“Untuk berlaku adil, para pemenang pertandingan keceriaan pada tahun lepas atau johan di peringkat kebangsaan tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan ini selama tiga tahun.

“Pada tahun lepas, Negeri Perlis telah mencatat sejarah tersendiri apabila Majlis Perbandaran Kangar dan Sekolah Rendah Kebangsaan Oran telah memenangi johan Pertandingan Keceriaan Hari Kebangsaan peringkat kebangsaan bagi kategori premis kerajaan dan sekolah rendah yang telah membawa pulang hadiah berjumlah RM10,000 bagi setiap kategori,” tambahnya.

-NI

Tinggalkan komen anda