Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Program Jelajah TVET Johor Tarik Lebih Seribu Peserta

By 15 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norsaedah Haron/Norafika Hombing Kadir (Kluang)

KLUANG, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Bertemakan “Generasi Berkemahiran Tinggi, Peneraju Johor Bestari” Program Jelajah TVET Johor 2019 anjuran Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor berjaya menarik penyertaan seribu peserta bagi zon utara meskipun sasaran asal hanyalah seramai 300 pelajar sahaja.

Manakala bagi siri jelajah zon tengah yang berlangsung semalam, Unit Strategik Modal Insan Johor menyasarkan penglibatan seramai 400 orang pelajar dari daerah Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Johor Aminolhuda Hassan, kerajaan negeri sangat memandang jauh ke hadapan dalam memperkasakan TVET sebagai sumber tenaga kerja berkemahiran dan komprehensif bagi keperluan industri di negeri ini.

Aminolhuda (berbaju jingga) bergambar kenangan bersama-sama pemenang acara yang dipertandingkan sempena program.

Aminolhuda (berbaju jingga) bergambar kenangan bersama-sama pemenang acara yang dipertandingkan sempena program.

“Dalam pendekatan ini, pihak swasta harus memainkan peranan penting dalam percambahan era globalisasi yang berkemahiran tinggi dan mendapat sokongan penuh dalam sektor kemahiran di negara ini agar dapat beralih ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

“Kerajaan negeri melalui unit SMI mengambil inisiatif terutama dalam sektor tenaga kerja yang berkait rapat dengan kemahiran TVET bagi mengurangkan jurang kadar pengangguran.

“Pelatih di institusi latihan kemahiran khususnya TVET sama ada milik kerajaan mahupun swasta, mempunyai kebolehpasaran yang tinggi kira-kira 90 peratus berjaya mendapatkan pekerjaan,” ujarnya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, di sini semalam.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Pameran Interaktif dan Demonstrasi Kemahiran dengan penglibatan pelbagai pempamer interaktif seperti Johor Skills Development Centre, Kolej Vokasional Johor, dan banyak lagi.

Pengunjung turut dihidangkan dengan pelbagai demonstrasi kemahiran berkaitan mekatronik, reka bentuk fesyen, akuakultur, teknologi pembuatan perabot dan bidang-bidang TVET yang lain.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kluang Ismail Abu, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor Saifuddin Abdul Rahim, Pegawai Pendidikan Daerah Kluang Ishak Mahbob serta Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Selatan Abdul Halim Hassan.

-SH

Tinggalkan komen anda