Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

‘Awang Balau Pink’, Kerbau Selebriti Karnival HPPNK Kelantan 2019

By 7 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto : Illyani Fauzan Mustaffar (Kota Bharu)

PASIR PUTEH, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – ‘Awang Balau Pink’ kerbau milik Ismail Awang, 83, dari Kampung Telaga Papan Semerak, Pasir Puteh telah menjadi tarikan utama pengunjung ke Karnival Hari Penternak Peladang dan Nelayan Negeri Kelantan 2019 (HPPNK19).

Kerbau yang berumur 4 tahun itu dengan berat badan 500 kilogram dikatakan berasal dari baka kerbau balau dan menjadi tumpuan kerana bentuk fizikalnya yang sado dengan kulit berwarna merah jambu.

“Kebanyakan pengunjung ingat Awang Balau Pink hasil permanian berhadas atau kacukan, tapi sebenarnya ia lahir secara semula jadi dan amat jarang ditemui di negara kita,” jelas Ismail lagi.

Beliau memiliki hampir 40 ekor kerbau dari pelbagai baka berhasrat untuk menjual kerbau selebriti itu jika ada yang berminat.

Menurut pemiliknya kerbau ini berharga RM17,000 dan sentiasa mendapat permintaan penganjur untuk dipamerkan dalam pelbagai karnival di sekitar Negeri Kelantan kerana keunikannya.

Pengunjung mengambil peluang bergambar kenangan dengan kerbau selebriti.

Pengunjung mengambil peluang bergambar kenangan dengan kerbau selebriti.

Sementara itu seorang pengunjung Nur Izzati, 26, berkata ini merupakan kali pertama beliau berpeluang melihat kerbau balau secara lebih dekat malah sempat menyentuh kulitnya yang unik itu.

“Pada mulanya saya beranggapan Awang merupakan kerbau albino memandangkan warnanya tidak sama seperti kerbau biasa yang hitam atau kelabu,” ujar Nur Izzati lagi.

Terdapat lebih 100 ekor lembu dan kerbau pejantan atau induk jantan jenis American Grey Brahman, Angus, Charolais, Unggul Blonde, Piedmontese dan Belgium Blue dipamerkan di karnival ini.

Selain lembu, terdapat juga pameran ikan Kerapu gergasi dari spesis Kertang yang bernilai RM30,000.

HPPNK 2019 pada kali ini bertemakan ‘Kelantan Jelapang Makanan Negara’ yang membawakan pelbagai bengkel seminar dan pameran berkaitan aktiviti pertanian dan perikanan.

Kerbau balau merah jampu menjadi tumpuan ramai.

Kerbau balau merah jampu menjadi tumpuan ramai.

Karnival itu mendapat sambutan luar biasa dengan pelbagai pengisian yang menarik dan mampu memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya kepada usahawan muda tempatan yang baharu berjinak-jinak dalam industri penternakan lembu kacuk atau lebih dikenali sebagai lembu sado yang mampu menjadi pemacu ekonomi masyarakat penternak Negeri Kelantan.

HPPNK19 bermula pada 31 Julai hingga 4 Ogos 2019 di Pantai Bisikan Bayu telah menghimpunkan golongan penternak, peladang dan nelayan tempatan bagi mempamerkan hasil industri masing-masing serta mendedahkan masyarakat kepada potensi dan pulangan industri ini.

-NAZ

Tinggalkan komen anda