Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlis

Perancangan RMKe-12 Libatkan Input Dari Kerajaan Negeri

By 7 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) telah mengadakan sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) 2021-2025 bersama Kerajaan Negeri Perlis yang telah dipengerusikan secara bersama Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Azlan Man dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr. Radzi Jidin bertempat di Kompleks Dewan Undangan Negeri Kangar di sini, hari ini.

Sesi libat urus ini bertujuan untuk membentangkan hala tuju pembangunan negara di samping mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai hala tuju pembangunan Negeri Perlis yang akan diambil kira dan diperincikan dalam penyediaan RMKe-12.

Turut hadir di sesi libat urus ini ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Tuan Azman Mohd Yusof dan Pengarah Bahagian Pembangunan Wilayah Encik Ahmad Zamri Khairuddin, MEA serta ketua-ketua agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Negeri dan Jabatan Persekutuan di Perlis.

Senator Dr. Radzi Jidin yang ditemui pemberita selepas sesi taklimat itu menjelaskan  bahawa Perlis merupakan negeri yang ketujuh yang dilawati bagi sesi libat urus penyediaan RMKe-12 bagi bertujuan untuk mendapatkan input, pandangan dan nasihat dari kerajaan negeri dalam merangka perancangan masa depan negeri ini.

“Kita mahu menjadikan dokuman RMKe-12 ini satu dokumen yang lengkap serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak bukan sahaja dari kerajaan negeri tetapi juga pihak industri di negeri ini,” ujarnya.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri Besar.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri Besar.

Dalam Kajian Separuh Penggal RMKe-11, Perlis merupakan antara negeri yang diberikan keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pengagihan peruntukan yang lebih baik dan di bawah Rolling Plan 4 (2019) RMKe-11, Perlis telah diperuntukkan sejumlah RM319 juta daripada jumlah peruntukan pembangunan keseluruhan.

Peruntukan ini bagi membolehkan pengagihan manfaat sosioekonomi yang lebih baik untuk memastikan pertumbuhan saksama demi meningkatkan kesejahteraan rakyat Perlis.

Jelas beliau lagi, terdapat keserasian di antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan apabila bercakap mengenai kemakmuran bersama seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melihat semua rakyat Malaysia merasai manfaat atas hasil usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan kelak .

“Antara penekanan setiap negeri adalah untuk mendapatkan gambaran secara meluas mengenai kekuatan produk pertanian dan perlancongan negeri untuk kita kenal pasti dan dapat dioptimakan seperti Gua Kelam dan Super Fruits Valley di Lembah Chuping,” katanya lagi.

Terdahulu beliau mengadakan kunjungan kepada Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Dewan Undangan Negeri.

-NI-

Tinggalkan komen anda