Skip to main content
Berita TimurKelantan

Hujan Lebat Tidak Halang Sambutan Bulan Kemerdekaan

By 29 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto : Mohd Zulfadli Ab Hamid (Kuala Krai)

KUALA KRAI, 29 Ogos ( Malaysiaaktif ) – Meskipun hujan lebat yang turun, namun ia tidak menghalang lebih 1,000 rakyat Dabong membanjiri Padang Awam Majlis Daerah Dabong bagi meraikan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah Kuala Krai.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai itu hampir dibatalkan ekoran hujan turun dengan lebat pada malam tersebut sehingga merosakkan satu unit khemah.

Majlis perasmian yang sepatutnya bermula pada pukul 9.00 malam terpaksa ditunda ke pukul 10.00 malam kerana hujan yang sangat lebat.

Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Jajahan Kuala Krai, Dr Haji Nik Mohd Azlan Abd Hadi dan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan Lim Ann Teck serta Pengerusi Pakatan Harapan Kuala Krai, Ir. Dr. Yazid Abdullah.

Menurut Ketua Jajahan Kuala Krai Dr Haji Nik Mohd Azlan Abd Hadi, program sebegini wajar diadakan setiap tahun sebagai tanda kecintaan pada negara.

“Program pada hari ini sedikit sebanyak dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan memberi kesedaran kepada semua betapa pentingnya semangat patriotik supaya keharmonian dan keamanan dapat dikekalkan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Manakala Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan Lim Ann Teck berkata kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan merupakan salah satu tugas Jabatan Penerangan Malaysia sejak dari dahulu bagi memberi kesedaran dan semangat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Acara Senamrobik Merdeka

Acara Senamrobik Merdeka

“Kakitangan Jabatan Penerangan berkhidmat tanpa mengira waktu, tempat dan masa dalam mengadakan program bersemuka kepada rakyat agar hasrat menyampaikan dasar-dasar kerajaan sampai kepada rakyat terutama rakyat di kawasan pedalaman seperti di Dabong ini,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan.

Bagi Awang Roya, 52, salah seorang yang hadir pada program berkenaan, berkata program sebegini dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat selain mengeratkan silaturrahim antara masyarakat dengan jabatan kerajaan.

“Program anjuran Jabatan Penerangan ini sangat bermanfaat kerana semua pihak dari pelbagai kampung sekitar DUN Dabong bertungkus-lumus bersama jabatan kerajaan bagi menjayakan program ini,“ ujarnya lagi yang berasal dari Kampung Biak.

Menurut Awang Roya lagi, beliau yang juga ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Biak berharap agar masyarakat sama-sama menzahirkan kesyukuran atas kemerdekaan negara dengan menjaga keamanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat tidak kira masyarakat di pedalaman mahupun bandar.

Awak-Awak Dikir Barat sedang membuat persembahan

Awak-Awak Dikir Barat sedang membuat persembahan

“Saya amat berbesar hati dan mengharapkan agar lebih banyak program diadakan di DUN Dabong kerana kami berada di kawasan pedalaman yang jauh dari Pekan Kuala Krai. Masyarakat di sini berasa teruja apabila diadakan program besar sebegini di kawasan kami dan program sebegini mampu mengeratkan silaturrahim dalam kalangan penduduk sekitar DUN Dabong serta kakitangan jabatan kerajaan.

“Kami berasa sangat bertuah kerana Jabatan Penerangan memilih tempat kami untuk mengadakan program besar sebegini. Ternyata rakyat di sini sangat gembira dengan pelbagai acara yang diadakan sempena program ini,” ujarnya.

Program yang dinamakan Program Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Kuala Krai ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka rakyat sebanyak 26 acara, Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik, Perarakan Motor Merdeka sebanyak 62 buah, Persembahan Percikan Bunga Api, Senamrobik Merdeka, Persembahan Dikir Barat oleh Din Manjo dan Mat Glemor serta pelbagai aktiviti lagi.

-NAZ

Tinggalkan komen anda