Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Jawatankuasa Pemantauan Barter Trade Ditubuhkan

By 29 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/ Vicky Matanjang (Kota Kinabalu) 

KOTA KINABALU, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Standard Operating Procedure Barter Trade ditubuhkan bagi memantau pembaharuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri selain menambah baik keperluan yang perlu dan bersesuaian dalam aktiviti perdagangan tukar barang atau barter trade di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, antara penambahbaikan tersebut adalah memansuhkan jumlah nilai dagangan per transaksi dan kuota kebenaran perniagaan barter trade serta membuka permohonan semula kebenaran barter trade secara atas talian tanpa bayaran bermula 1 Oktober ini dan menggunakan kapal-kapal pengangkutan jenis Non Conventions Ship (NCS) tertakluk seperti yang telah ditermetrai melalui Mesyuarat Senior Transport Officers Meeting (STOM) yang mana Perjanjian Persefahaman (MOU) telah ditandatangani pada 9 November 2019 di Bangkok serta pematuhan Barangan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kalau dahulu ada syarat-syarat yang kita letak (antaranya) beberapa harga dagangan barter trade yang ada, sekarang ini kita tidak hadkan, atas persetujuan bersama ketiga-tiga negara dan pihak-pihak yang terbabit dalam perdagangan ini (termasuk) jumlah yang hendak mereka bawa dan kita akan memastikan bahawa ia selaras dengan apa telah kita muafakatkan.

Shafie semasa menyampaikan taklimat pada majlis berkenan.

Shafie semasa menyampaikan taklimat pada majlis berkenan.

 

“Begitu juga dengan pihak-pihak yang terbabit (dalam perdagangan ini), jumlahnya segelintir sahaja, tapi kita hendakkan pemain (industri) yang benar dan mempunyai track rekod yang baik agar, mereka ini tidak merosakkan imej ataupun usaha perdagangan.

“Kita juga memerlukan pemain industri yang mempunyai sense of stability, dalam memastikan bekalan mencukupi secara konsisten serta dengan harga yang berpatutan.

“Selain itu, barang hendaklah berkualiti supaya apa yang kita lakukan ini kesannya bukan hanya dapat dirasai oleh pihak regulators, agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat tetapi juga juga kepada masyarakat di ketiga-tiga negara.

“Kita perlu memastikan keuntungan yang diperolehi adalah berpanjangan bukan hanya kepada kita tetapi juga rakan kongsi yang ada untuk membolehkan supaya perniagaan ini berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada media selepas mengadakan taklimat berkenaan Barter Traders di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada Isnin.

Sebanyak 15 agensi yang terlibat dalam jawatankuasa berkenaan iaitu Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Majlis Keselamatan Dalam Negara (MKN) Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sabah dan WP Labuan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah (JLMWS), Lembaga  Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Jabatan Pertanian Negeri Sabah dan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah.

Susana semasa sidang media tersebut.

Susana semasa sidang media tersebut.

 

Dalam pada itu Shafie turut memaklumkan, sebanyak 43 lesen perniagaan barter trade telah dikeluarkan kepada peniaga di Kudat, Sandakan, Tawau sejak Januari lepas.

“Kita lihat ketiga-tiga lokasi ini mempunyai prasarana dan kemudahan asas yang membolehkan supaya kawasan ini dapat mematangkan perniagaan.

“Sebagai contoh di Tawau, ia berhampiran  dengan Kalimatan dan Sebatek, di Sandakan hampir dengan selatan Mindanao dan Kudat yang terletak berhampiran dengan Palawan, lokasi ini memudahkan urusan pembekalan barangan dijalankan selain dapat memendekkan jarak, masa perjalanan serta keselamatan barangan,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis ialah Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, Sarifuddin Hata dan Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Bahari Hassan.

ER

Tinggalkan komen anda