
Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam (Melaka Tengah)
MELAKA, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – “Terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen yang tinggi kepada pihak berkuasa trafik kerana membantu menjaga keselamatan peserta konvoi.”
Demikian antara petikan ucapan perasmian yang telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai semasa merasmikan Program Merdeka@Komuniti dan Majlis Kembara Pelancaran Bulan Kebangsaan DUN Pantai Kundor di sini, Ahad lalu.
“Tahniah dan syabas kepada pihak yang terlibat bagi menjayakan program yang mampu menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan terutamanya bagi kawasan Tangga Batu,” ujarnya.
Penyelaras Pantai Kundor, Juhari Osman ketika ditemui berkata program ini merupakan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Melaka dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pantai Kundor yang merupakan satu program yang amat berguna kepada generasi muda untuk mengibarkan Jalur Gemilang tanda kebanggaan kita sebagai seorang rakyat Malaysia.
“Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor telah mengambil inisiatif dengan memilih generasi muda sebagai faktor utama kepada penganjuran program ini bagi memastikan semangat kemerdekaan tidak terhapus dari jiwa muda mereka,” tambahnya.
Turut diadakan penyerahan Jalur Gemilang dan dimeriahkan dengan laungan ‘Merdeka’ oleh Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah, Mohd Noor Samion.
-KN