Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)
SIK, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Tidak ramai yang berpeluang mendengar sendiri pengalaman serta perit jerih pejuang tanahair yang berkorban keringat, nyawa serta sumbangan dalam mempertahankan negara daripada pengganas.
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah (PPAK) telah melaksanakan Program Menggamit Memori: Bicara Pejuang yang berlangsung di Institut Kemahiran MARA (IKM), di sini semalam.
Ketua Unit Koleksi Kedah Abdul Rahman Mat Zain, berkata program ini merupakan medan terbaik untuk menghargai segala jasa, sumbangan, pengorbanan serta keringat para perajurit negara.
“Bagi memberi pendedahan kepada generasi muda tentang pahit jerit pasukan keselamatan negara berjuang bermati-matian menentang pengganas, PPAK mengambil insiatif menganjurkan program ini dalam tempoh dua bulan sekali dan tidak hanya pada bulan Merdeka.
“Ini bagi memperingati segala sumbangan perajurit dan sentiasa menginsafi detik kesengsaraan yang telah dilalui oleh generasi terdahulu supaya kita tidak leka dan terus mempertahankan negara daripada segala jenis penjajahan dan ancaman.
Tambah Abdul Rahman lagi, bagi jerayawara di Sik ini, kumpulan sasar terdiri daripada golongan muda dan belia bagi membuka minda golongan remaja tentang ancaman luar dan moden.
“Saya berharap agar generasi muda dapat menghargai pengorbanan pasukan keselamatan dan sayangi negara kita serta menjadikan pengalaman veteran perajurit sebagai iktibar dan pengajaran yang cukup penting dalam lipatan sejarah negara ini,” jelasnya lagi.
-SH