Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePutrajaya

KMJG19: Sertai APM Zahir Semangat Cintakan Negara

By 16 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Idham Ishak/Edi Rizam (Putrajaya)

GERIK, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Kembara Merdeka Jalur Gemilang kali yang ke-17 penganjurannya telah diserikan lagi dengan penglibatan pelbagai agensi yang memeriahkan majlis pelancaran dan pelepasan konvoi dengan menyediakan kaunter pameran kepada tetamu yang hadir.

Antara agensi yang turut terlibat di dalam kaunter pameran sewaktu menyambut ketibaan konvoi di Kolej Teknologi Tinggi Mara, Lenggong, Perak hari ini adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gerik. APM untuk pengetahuan juga pernah dikenali sebagai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) sebelum diwartakan pada tarikh 1 September 2016 menjadi APM.

Siti Rozita yang merupakan salah seorang anggota APM berkongsi pengalaman beliau dan turut mengambil peluang untuk mengajak orang awam terutamanya golongan muda menyertai APM.

“Saya menyertai APM sewaktu ianya dikenali sebagai JPAM lagi. Terlampau banyak pengalaman yang saya terima melalui penglibatan saya di dalam APM. Antaranya membantu pemindahan mangsa banjir di Gerik, menolong keluarga mangsa ribut, menangkap seekor ular sawa sepanjang enam meter dengan berat mencapai 120 Kilogram dan banyak lagi.”

Anggota APM, Siti Rozita bersama Izzuani

Anggota APM, Siti Rozita bersama Izzuani

“Justeru itu, saya ingin mengajak orang awam, terutamanya golongan muda lepasan SPM dan yang masih mencari kerja untuk turut sama menyertai APM bagi menzahirkan semangat cintakan Negara melalui bakti yang dicurahkan dengan membantu orang lain.”

“APM ini juga bukan sahaja ditujukan buat golongan yang masih mencari kerja, malah golongan berkerja yang mempunyai kelapangan masa juga turut sama boleh menyertai APM,” tambah beliau yang berkongsi laman web Angkatan Pertahanan Awam untuk dilayari mereka yang berminat sebelum mengakhiri bualan.

KMJG19 yang memasuki hari kelapan pada hari ini telah melakukan hentiannya yang pertama di RTC Tunjung, Kota Bharu, sebelum menuju ke Masjid Bukit Bunga, Kelantan dan mengakhiri jelajah di Kolej Teknologi Tinggi Mara, Lenggong, Perak.

-II-

Tinggalkan komen anda