Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMAMelaka

Sambutan Hari Peneroka Merdeka Bebas Dadah ke-59 Pupuk Kesedaran Masyarakat

By 26 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Perpaduan dan kemajuan yang dinikmati hari ini tidak boleh dianggap remeh dan disia-siakan kerana ia merupakan pengorbanan pejuang kemerdekaan dan orang yang mendahului kita suatu masa dahulu.

Begitulah yang diucapkan oleh Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Melaka, Ginie Lim Siew Lin semasa merasmikan Sambutan Hari Peneroka Merdeka Bebas Dadah ke-59 FELDA Bukit Bulat, di sini, Sabtu lalu.

Pengorbanan dan jerih perih yang telah dilalui oleh peneroka semasa membuka tanah rancangan ini perlu dihargai dan dikenang selamanya oleh warga FELDA terutamanya generasi kedua dan ketiga dalam memastikan kegemilangan FELDA sebagai sebuah entiti yang disegani dan pemacu ekonomi luar bandar dapat dikekalkan dan diperhebatkan lagi.

“Peneroka merupakan wira dalam membangunkan ekonomi luar bandar. Mereka telah bersusah payah untuk meneroka dan membuka tanah rancangan ini untuk memastikan nasib anak cucu dimasa hadapan lebih terbela dan perkara ini perlu disematkan dihati setiap generasi FELDA masa kini untuk memastikan pengorbanan mereka tidak disia-siakan dan terus dihargai,” ujar beliau.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Alor Gajah, Lailiana Maon berkata penglibatan ibu bapa dalam pemantauan anak sangatlah penting dalam memastikan gejala penagihan dadah di kawasan FELDA dapat dibanteras sepenuhnya.

“Ibu bapa dan keluarga sebagai orang yang paling hampir dengan remaja dapat mengesan jika berlakunya perubahan kelakuan aank mereka sendiri. Agensi kerajaan seperti AADK sentiasa terbuka dan bersedia untuk membantu sesiapa yang terlibat dalam penagihan dadah untuk kembali pulih dan kembali kedalam masyarakat,” ujarnya.

Program Sambutan Hari Peneroka Merdeka Bebas Dadah ke-59 FELDA Bukit Bulat telah diadakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi dalam daerah Alor Gajah antaranya Agensi Antidadah Kebangsaan, Pejabat Penerangan Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) DUN Machap Jaya.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program seperti pertandingan bola sepak, sukaneka dan taklimat penerangan produk dan inisiatif kerajaan kepada penduduk dan orang ramai. Untuk rekod, FELDA Bukit Bulat telah dibuka pada tahun 1960 dan mempunyai pelbagai generasi yang mendiami tanah rancangan ini.

Turut hadir dalam majis ini ialah Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan dan Ketua Unit Promosi Kesihatan Daerah, Dr. Haslinda Ahmad.

Perasmi bersama ketua jabatan dan pemimpin tempatan.

Perasmi bersama ketua jabatan dan pemimpin tempatan.

-KN

Tinggalkan komen anda