Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain / Rizal Jasmi (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Umat Islam di negeri ini diseru untuk meningkatkan sumbangan wakaf kerana peluang untuk berwakaf lebih banyak serta tiada had di samping meningkatkan lagi ekonomi ummah. Perkara ini telah ditegaskan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari semasa merasmikan Surau Lukman Al Haqeem, Hospital Alor Gajah, di sini, semalam.
Ujarnya lagi, kerajaan negeri menyasarkan jumlah dana wakaf di negeri ini agar bertambah setiap tahun. Kutipan zakat di negeri ini berjumlah RM89 juta manakala sumbangan dana wakaf berjumlah RM5 juta. Kerajaan berusaha untuk memanfaatkan dana wakaf yang telah disumbangkan umat Islam negeri ini bukan hanya dengan membina fasiliti dan bangunan sahaja malah turut digunakan dalam bidang pendidikan agama.
“Saya memuji usaha yang dilakukan oleh Hospital Alor Gajah yang menggerakkan tabung wakaf untuk pembinaan surau ini dan tidak mengharapkan dana daripada kerajaan semata-mata. Usaha sebegini wajar dipuji kerana di samping dapat memberi keselesaan kepada masyarakat, ia juga merupakan amal yang pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah SWT kepada pewakaf selagi mana harta yang diwakafkan itu kekal dimanfaatkan oleh umat Islam.
“Saya berharap agar surau ini dapat diimarahkan dan menjadi pusat penyatuan warga hospital dan orang ramai melalui program-program keagamaan dan ilmu serta kebersihan surau ini sentiasa dijaga supaya dapat menjadi gambaran kehebatan dan kemuliaan agama Islam itu sendiri sejajar dengan kempen ‘Ini Rumah Kita’ yang dilancarkan kerajaan negeri untuk memastikan negeri Melaka sentiasa bersih dan indah,” katanya.
Surau Luqman Al-Haqeem yang mempunyai keluasan 174.6 meter persegi telah dibina dengan kos RM295,000 menggunakan dana wakaf daripada warga Hospital Alor Gajah dan orang persendirian sepenuhnya. Surau ini dapat menampung 120 orang jemaah pada satu-satu masa dan dapat dimanfaatkan oleh kakitangan serta pengunjung hospital.
Hadir sama dalam majlis ini adalah Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Rushidi Ramly, Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranom dan Pengarah Hospital Alor Gajah, Dr. Suraidah Karim.
-KN