Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

ANSAR Beri Nafas Baru Kepada Golongan Pendapatan Rendah

By 30 September 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Masitah Mat Zin/Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)

SEREMBAN, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Berdasarkan matlamat untuk memastikan setiap umat Islam di Negeri Sembilan khususnya golongan sasar yang berpendapatan rendah diberi akses kepada keadilan di Mahkamah Syariah, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Al Marhum Tuanku Munawir telah mencetuskan pemikiran dan mencadangkan supaya satu perkhidmatan Bantuan Guaman Syariah diwujudkan.

Baginda bertitah sedemikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bantuan Guaman Syarie Negeri Sembilan (ANSAR) yang telah diadakan di Hotel Royal Chulan, di sini pada Jumaat.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan (PGSMNS) telah membuat kajian dan perbincangan dengan Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk menubuhkan Bantuan Guaman Syarie Negeri Sembilan (ANSAR).

WhatsApp Image 2019-09-27 at 18.57.41

Barisan urusetia bergambar bersama YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

ANSAR akan menyediakan khidmat sifar bayaran yuran guaman berdasarkan kepada kelayakan yang ditetapkan dan ianya akan beroperasi dengan penglibatan Peguam-peguam Syarie Negeri Sembilan yang bertauliah.

Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan, Hanif Hassan berkata, perkhidmatan ini akan memberi akses kepada golongan yang terbabit kepada perbicaraan yang adil sesuai dengan kehendak hukum syara’ undang-undang dan hak asasi manusia.

“Bantuan ANSAR ini sangat baik untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan bantuan dan nasihat guaman dalam undang-undang Syariah serta khidmat pengantaraan dan kesedaran undang-undang kepada mereka yang berkelayakan dengan cepat, tepat dan berkesan,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Wanita Taman Ainsdale, Zainab Ishak, berpendapat bahawa bantuan ANSAR ini amat baik kerana ianya menjalankan proses pengantaraan bagi tujuan menyelesaikan pertikaian secara damai dan sukarela kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

“Besar harapan kami agar para peguam Syarie yang terlibat dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik  agar matlamat ANSAR tercapai,” ujarnya.

-AK

Tinggalkan komen anda