Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Bomba Komuniti Hindari Bahaya Kebakaran

By 1 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Penubuhan Pasukan Bomba Komuniti merupakan langkah proaktif Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam memastikan masyarakat seluruh negara dapat dihindarkan dari bahaya-bahaya kebakaran terutamanya di rumah-rumah kediaman.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, berkata tujuan utama Penubuhan Pasukan Bomba Komuniti ini ialah supaya masyarakat di sesebuah kampung dapat didedahkan dengan tatacara membuat panggilan kecemasan, tatacara menyampaikan maklumat yang tepat semasa melaporkan kes kecemasan, peranan dan tanggungjawab sebelum, semasa dan selepas operasi pemadaman dan penyelamatan berakhir, perkara asas melawan kebakaran dan cara-cara pencegahan kebakaran di rumah atau kediaman.

Salah seorang pemilik Pusat Tahfiz menerima alat pemadam kebakaran daripada Rozman (tengah).

Salah seorang pemilik Pusat Tahfiz menerima alat pemadam kebakaran daripada Rozman (tengah).

“Pihak JBPM akan mendedahkan Pasukan Bomba Komuniti berkaitan pencegahan kebakaran terlebih dahulu sebelum mereka menyebarkkannya kepada seluruh penduduk kampung masing-masing.

“Saya percaya kaedah penyampaian seperti ini adalah amat efektif dan perlu diteruskan sehingga kesedaran masyarakat khususnya di Labuan di tahap yang memuaskan,” katanya semasa merasmikan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti dan Skuad Bomba Tahfiz Peringkat Labuan, pagi tadi.

Tambahnya, pelancaran Skuad Bomba Tahfiz di ketiga-tiga Sekolah Tahfiz/Madrasah Labuan amat bertepatan memandangkan kes kebakaran melibatkan sekolah-sekolah pondok dan tahfiz di seluruh negara semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Beliau berharap dengan penubuhan pasukan itu, maka kesiapsiagaan serta pencegahan tentang bahaya kebakaran dapat dipraktikkan.

Sementara itu, Pengarah JBPM Labuan Zainal Madasin, berkata pihaknya mengambil langkah drastik dengan menjadikan Majlis Perwakilan Penduduk di Labuan sebagai rakan strategik untuk menubuhkan Pasukan Bomba Komuniti setiap kampung.

Antara peserta Fire Fighter Fun Ride.

Antara peserta Fire Fighter Fun Ride.

“Melalui penubuhan ini, JBPM Labuan mampu menembusi sasaran dengan cara menyalurkan maklumat tentang pencegahan kebakaran kepada Pasukan Bomba Komuniti setiap kampung dan seterusnya komuniti ini akan menyebarkannya di kawasan masing-masing.

“Setakat hari ini JBPM Labuan telah menerima sebanyak 19 Penyertaan Pasukan Bomba Komuniti dari kampung-kampung sekitar Labuan,” katanya.

Majlis itu juga diserikan dengan program Fire Fighter Fun Ride sejauh 30 kilometer yang melibatkan 260 peserta termasuk 100 orang peserta dari Brunei Darussalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, Simsudin Sidek.

-SH

Tinggalkan komen anda