Skip to main content
Berita TimurTerengganu

MBKT Juara Perbarisan Terbaik Hari Kebangsaan 2019

By 1 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Pasukan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dinobatkan sebagai juara keseluruhan terbaik perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Pasukan yang terdiri daripada 42 anggota pelbagai jawatan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.00 dan piala pusingan.

Sembilan puluh tujuh pasukan menyertai pertandingan perbarisan pada kali ini dan bagi kategori pancaragam sekolah terbaik, ianya dimenangi oleh Pancaragam Swadaya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sing dan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.00 serta piala pusingan.

Pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir menerima hadiah wang tunai RM4,000.00 dan piala pusingan setelah diumumkan johan bagi kategori khas tersebut.

Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyaksikan perarakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu

Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyaksikan perarakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu

Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu menjadi juara bagi kategori jabatan kerajaan tidak beruniform, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (kategori badan berkanun), Kadet Bomba dan Penyelamat Sekolah Menengah Bukit Sawa, Marang menjadi johan bagi kategori sekolah menengah beruniform.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terengganu pula menjadi juara bagi kategori jabatan dan agensi kerajaan beruniform, Sekolah Menengah Padang Midin, Kuala Terengganu (kategori sekolah menengah tidak beruniform) dan pasukan Petronas menjadi juara bagi kategori swasta.

Semua pemenang utama menerima hadiah wang tunai RM4,000.00 dan piala pusingan yang disampaikan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Dipertuan Muda Terengganu (kanan) dan kepimpinan negeri menyaksikan perarakan dan perbarisan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu

Yang Dipertuan Muda Terengganu (Kanan) dan kepimpinan negeri menyaksikan perarakan dan perbarisan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu

Perarakan sejauh 2.8 kilometer bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu ke Dataran Batu Burok di sini disertai 4,165 peserta membabitkan 123 pasukan yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan berkanun, anak syarikat kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi awam, sekolah, pancaragam sekolah dan badan bukan kerajaan.

Pasukan Simpanan Tentera Darat membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu gergasi pada perarakan sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu

Pasukan Simpanan Tentera Darat membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu gergasi pada perarakan sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu

Sambutan juga turut dimeriahkan dengan persembahan sketsa `Jiwa Merdeka’ oleh Kumpulan Suktra, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Politeknik Kuala Terengganu dan Persatuan Basikal Klasik Terengganu.

Selain itu, persembahan silat oleh Pertubuhan Seni Silat Gayong Jati Malaysia, persembahan Choral Speaking oleh Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu, persembahan Kawad Formasi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Setiu dan tarian perang oleh pasukan Polis Diraja Malaysia turut menyerikan lagi sambutan itu.

Turut mengegarkan perarakan itu ialah lintas hormat sepuluh buah jet pejuang Sukhoi Tentera Udara DiRaja Malaysia, Gong Kedak.

-II-

Tinggalkan komen anda