Laporan/foto : Mohd Nasharuddin Mohd Shah, Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 1 Sept ( Malaysiaaktif ) – Setiap tahun sambutan hari kebangsaan akan diraikan di semua peringkat daerah di negeri Johor termasuk Kota Tinggi.
Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Daerah Kota Tinggi dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih’ telah diadakan di Padang Bukit Kerajaan Kota Tinggi.
Pelbagai acara menarik diadakan seperti perarakan dan perbarisan 36 kontinjen dengan kekuatan anggota seramai 1200 orang dengan setiap kontinjen mempunyai 33 orang anggota melibatkan pelbagai agensi dan pertubuhan termasuk acara padang seperti bacaan ikrar, sajak kemerdekaan termasuk formasi angklung dan kompang dari SK Laksamana, Kota Tinggi.
Formasi angklung dan kompang yang julung kali diadakan ini melibatkan 120 pelajar dengan pemain angklung seramai 115 orang, 95 orang pemain kompang dan jidur yang terdiri dari murid pra sekolah, tahun 2 hingga 5 menjadi tarikan utama para pengunjung pada sambutan kali ini.
Menurut guru muzik, Ismail Hassan, kumpulan ini telah ditubuhkan pada tahun 2009 lagi dan ia ditubuhkan bagi menarik minat pelajar untuk menghargai alat muzik tradisional selain dapat menarik minat mereka untuk hadir dan suka datang ke sekolah.
“Persembahan ini yang julung kali diadakan pada sambutan hari kebangsaan, memainkan rangkaian lagu seperti enjit-enjit semut, tepuk amai-amai dan lagu patriotik putra putri,” katanya yang juga Jurulatih Muzik JKKN Johor.
Khairul Husin, 47, seorang pengunjung yang ditemui pula berkata, “setiap tahun saya akan hadir untuk menyaksikan sambutan hari kebangsaan dan pada tahun ini saya berasa sangat teruja kerana dapat melihat keunikan persembahan angklung dan kompang dari SK Laksamana yang secara tidak langsung dapat memupuk semangat cintakan alat muzik tradisional agar ia tidak luput ditelan zaman”.
Wakil rasmi Menteri Besar Johor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor Sr. Dzulkefli Ahmad dalam ucapannya menyeru agar rakyat mengamalkan empat formula bagi memperkukuhkan jalinan hubungan sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, iaitu kerukunan hidup bangsa Malaysia, mengamalkan pemuafakatan, kesederhanaan, semangat toleransi dan keadilan sosial.
“Setiap rakyat perlulah mengamalkan perkongsian hidup dan masa depan selain mengamalkan keperibadian unggul dan matang dalam mendepani pelbagai isu demi keharmonian kaum, agama dan bahasa selain mendaulatkan integrasi antara kaum, serta bersyukur dan menghargai kemerdekaan ini.”
“Formula ini merupakan garapan asas bagi membentuk Malaysia yang muafakat dan sejahtera,” ujarnya lagi.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan pakaian tercantik, sepanduk tercantik, penyertaan teramai dan hiasan bangunan tercantik.
Turut hadir Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail.
-NI-