Laporan/foto: Zakaria Damit/Azlan Matussin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 28 Sept (Malaysiaaktif) – Program ‘MANGKUAYA’ atau Gotong-royong Sekampung akan diperluas secara berperingkat di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.
Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Azhar Matussin berkata Kampung Wak-Wak Gentisan, Sepanggar terpilih bagi program pelancaran peringkat pertama dan kemudian akan diperluaskan di seluruh kampung di peringkat DUN Karambunai.
Katanya, pengisian program ini adalah berkonsepkan turun padang dengan penyertaan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) sekaligus menyedia peralatan untuk membaiki rumah usang di kawasan kampung berkenaan.
“Hari ini, kita bawa beberapa peralatan yang dikenal pasti sangat diperlukan penduduk kampung termasuk kerusi roda serta kelengkapan lain untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Istilah ‘Mangkuaya’ ini adalah dalam bahasa suku kaum Bajau Samah yang sangat bertepatan dengan konsep ini sekaligus membolehkan pemimpin mendekatkan diri kepada masyarakat kampung untuk mendengar permasalahan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Mangkuaya peringkat DUN N12 Karambunai, di Kampung Wak-Wak Gentisan, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Penaja Bersatu Bahagian Sepanggar, Mohd Razali Mohd Razi serta Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sepanggar, Dr Roland Chia.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai berkata lebih unik program ini tenaga kerja sukarela turut disertai kalangan penduduk serta pemimpin-pemimpin masyarakat di kampung berdekatan.
“Kita turut bersama-sama penduduk kampung untuk membaiki jambatan serta laluan pejalan kaki yang usang selain melawat dan mendapatkan maklumat penduduk kampung yang memerlukan bantuan segera,” katanya.
Selepas ini program sama akan diperluaskan di beberapa kampung lain di dalam DUN Karambunai bagi memastikan masalah penduduk kampung dapat diselesaikan secara teratur dan berperingkat-peringkat.
“Kita yakin konsep ‘Mangkuaya’ yang diperkenalkan ini akan menepati sasarannya sekaligus memberi manfaat kepada seluruh penduduk di kawasan DUN Karambunai,” katanya.
ER