Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

PAKK Lubuk Legong Manfaat 120 Anak Komuniti Kensiu

By 29 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

BALING, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Dalam usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyediakan perkhidmatan sokongan bercorak pencegahan, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak, sebuah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) telah diwujudkan di perkampungan masyarakat orang asli Kensiu di Lubuk Legong.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Negeri Kedah Halimaton Shaadiah Saad, berkata hasrat penubuhan PAKK adalah sebagai pusat aktiviti setempat bagi mencegah dan memberi ruang kepada kanak-kanak komuniti Kensiu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang bebas daripada masalah sosial masa kini.

“Saya difahamkan cadangan penubuhan pusat ini sejak tahun 2017 lagi berikutan timbulnya isu keciciran sekolah dan aktiviti yang tidak sihat di perkampungan ini,” katanya ketika merasmikan Program Santuni Komuniti Kensiu @ PAKK Lubuk Legong Baling, di sini semalam.

Menurut Halimaton, beliau amat berbangga dan terharu kerana semua agensi kerajaan negeri khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah Baling amat mengambil berat kepada komuniti masyarakat orang asli di sini.

“Harapan saya komuniti Kensiu ini tidak menyisihkan diri daripada masyarakat umum sebaliknya mereka harus bekerja keras menyediakan diri dan sama-sama membangun dan menikmati kemakmuran negara,” tambahnya.

Halimaton (dua dari kanan) bersama-sama Pengarah JKM menyempurnakan gimik perasmian bangunan PAKK Lubuk Legong.

Halimaton (dua dari kanan) bersama-sama Pengarah JKM menyempurnakan gimik perasmian bangunan PAKK Lubuk Legong.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah Azmi Karim, berkata kanak-kanak perlu dilindungi dan ada tempat yang berstruktur untuk menghadapi zaman mereka.

“Saya melihat perlu ada satu pusat aktiviti khusus kepada anak-anak komuniti Kensiu dan berharap dengan wujudnya pusat aktiviti ini dapat mendidik mereka terutamanya dengan sahsiah, nilai dan pengetahuan,” ujarnya.

Tok Batin masyarakat orang asli Kampung Lubuk Legong Razali Kulim, berkata usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat mewujudkan PAKK di kampung ini amat baik.

“Dengan wujudnya pusat ini diharap segala masalah sosial terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dapat diselesaikan,” katanya.

Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Daerah Baling Mohamad Shazarul Azwan Sarip, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat Junaidi Ayob dan Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah Maznah Musa.

-SH

Tinggalkan komen anda