Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
KEPONG, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Pasukan Rhinoz Warriors mendapat tonik serta semangat baharu untuk mengharungi perlawanan ragbi dalam persaingan liga Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) musim hadapan.
Prestasi semakin meningkat yang ditunjukkan pasukan Rhinoz Warriors dalam liga KRS dan beberapa kejohanan jemputan telah menarik minat syarikat LaundryBar untuk menaja pasukan yang berpangkalan di Selayang itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan sebarang sumbangan dan penajaan untuk memajukan kelab tersebut dan sukan ragbi di negara ini.
“Sukan ragbi merupakan antara sukan yang popular di Malaysia terutama di peringkat sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) walaupun kurang mendapat liputan berbanding sukan-sukan lain.
“Melalui penajaan pihak korporat ini sangat membantu sukan ragbi kerana banyak kos diperlukan ketika perlawanan liga berlangsung atau menyertai kejohanan-kejohanan jemputan lain,” katanya.
Mohd Sany yang juga Penaung Kelab Ragbi Rhinoz Warriors menyatakan, optimis untuk kelab ragbi tempatan itu terus maju di samping mengilap bakat baru pemain ragbi di negeri Selangor dan negara.
“Tahun ini Rhinoz Warriors menduduki tangga keenam dalam liga Selangor dan baru-baru ini menjadi johan dalam Kejohanan Ragbi KLOB RC 10’S sempena Pesta Morib, 15 September lalu.
“Tahun hadapan kami sasarkan tempat keempat untuk layak bersaing dalam Liga Ragbi Malaysia (LRM) yang lebih kompetetif, selain menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan jemputan lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Jersi Tajaan LaundryBar kepada Rhinoz Warriors di Ibu Pejabat City Coin Group, Kepong semalam.
Turut hadir Presiden Kelab Ragbi Rhinoz Warriors, Musli Mat Isa, Pengurus pasukan, Azlan Shamsudin dan Ketua Komunikasi Korporat dan Penjenamaan LaundryBar, Mohd Fadzli Ab Rahim.
Sementara itu, Mohd Fadzli berkata, kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan kelab Rhinoz Warriors telah menarik minat pengurusan syarikat untuk menaja jersi dan peralatan latihan.
“Melalui penajaan tersebut diharapkan para pemain Rhinos Warriors akan lebih bersemangat dalam menghadapi perlawanan yang akan datang dan bersaing untuk menempatkan diri dalam Liga Ragbi Malaysia (LRM).
“Syarikat akan menaja jersi rasmi Rhinoz Warriors dan peralatan latihan agar dapat melahirkan pemain ragbi yang baru dan berbakat. Ini merupakan tajaan pertama syarikat kami dalam bidang sukan di Malaysia,” katanya.
-NAZ