Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Semua pihak diseru mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan pemahaman dalam mengurus dan mengendalikan situasi genting bencana sekiranya berlaku.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad, adalah penting untuk mengetahui bahawa kerajaan ada menggariskan panduan melalui Arahan-Arahan MKN berhubung dasar dan pengendalian situasi-situasi tersebut.
“Garis panduan ini perlu difahami agar setiap di antara kita tahu akan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memberikan kerjasama supaya keadaan lebih terkawal.
“Arahan-Arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara menggariskan dasar pengurusan dan pengendalian kepada situasi-situasi ini antaranya sebagai contoh, Dasar Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan, Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara serta Dasar Pengurusan dan Pengendalian Situasi Ancaman Ketenteraman Awam.
“Adalah diharapkan juga semua agensi yang terlibat dalam pengurusan keselamatan, termasuk pemain industri melihat kembali prosedur operasi standard (SOP) pengurusan keselamatan masing-masing dan jika perlu, ubah-suai dan sesuaikan dengan Arahan-Arahan MKN sedia ada,” katanya semasa merasmikan Seminar Pengurusan Keselamatan Wilayah Persekutuan Labuan Pengurusan dan Pengendalian Situasi Bencana dan Krisis, di sini petang tadi.
Menurut Rodzi lagi elemen-elemen keselamatan perlu menjadi perhatian utama terutamanya di Wilayah Persekutuan Labuan yang sedang melalui fasa pembangunan ini.
“Pelbagai usaha sedang giat dijalankan oleh kerajaan khususnya dalam pembangunan
sosio ekonomi wilayah ini dan dalam usaha ke arah itu, sudah pasti elemen-elemen keselamatan perlu menjadi perhatian utama agar seiring dengan pembangunan sosial dan dalam masa yang sama keharmonian rakyat sentiasa terpelihara.
“Usaha secara bersama memerlukan
kerjasama yang baik dari setiap agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Lebih-lebih lagi berhadapan dengan isu-isu keselamatan setempat,” katanya lagi.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Wilayah Persekutuan Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah.
-SH