Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Tasik Kenyir Syurga Pencinta Alam

By 13 September 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlydiana Ishak (Putrajaya)/JPS Negeri Terengganu

HULU TERENGGANU, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Tasik Kenyir yang terbentang melukiskan keindahan alam semulajadi memiliki seribu rahsia dan ia ibarat syurga bagi pencinta alam semula jadi.

Dikelilingi ratusan pulau kecil dengan tumbuhan subur hutan hujan tropika sambil menyaksikan pemandangan air tasik kehijauan, suasana mendamaikan ini antara terapi terbaik untuk menikmati ketenangan.

Pembinaan Empangan Jenagor yang siap pada tahun 1986 menyebabkan wujudnya Tasik Kenyir yang menenggelamkan beberapa batang sungai sedia ada, bukit-bukit serta tanah tinggi namun begitu puncak-puncak yang melebihi 138 meter tingginya telah muncul sebagai pulau-pulau yang menghiasi perairan Tasik Kenyir ini.

Para peserta mendapat pengalaman menginap di bangsal bot bagi merasai sendiri udara yang bersih dan pemandangan yang cantik Tasik Kenyir ini.

Para peserta mendapat pengalaman menginap di bangsal bot bagi merasai sendiri udara yang bersih dan pemandangan yang cantik Tasik Kenyir ini.

Keindahan dan keunikan panorama dengan air terjun, gua, gunung, taman indah dan santuari haiwan liar di tasik berkenaan menggamit pelancong untuk terokai kawasan itu.

Tasik Kenyir yang tersohor dengan kehijauan dan ketenangan hutan hujan tropika tertua dunia semenjak 130 juta tahun lampau menjadi destinasi pertama Ekspedisi Sumber Air Negara anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia beserta United Nations Educational, Scientific & Cultural Organization’s (UNESCO) – The International Hydrological Programme (IHP) Malaysia.

Para peserta bukan sahaja didedahkan dengan hutan hujan tropika yang amat subur lebih-lebih lagi dengan sumber air melalui sungai-sungai yang mengalir ke tasik tetapi juga mereka diberi peluang menikmati dan merasai kedamaian alam dan keistimewaan Tasik Kenyir dengan menaiki bot laju dan menginap di atas bangsal bot.

Salah seorang peserta ekspedisi Mazuin Masuaud, guru Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2), berkata program ini memberi banyak pendedahan tentang kepentingan sumber air bersih kepada pengguna dan pendedahan ilmu yang berterusan sangat penting bagi mewujudkan kesedaran pengguna tentang kelestarian alam sekitar khususnya air.

Santuari Kelah antara tarikan utama di Tasik Kenyir.

Santuari Kelah antara tarikan utama di Tasik Kenyir.

“Saya berasa sangat teruja disajikan dengan ratusan maklumat menarik mengenai kewujudan Tasik Kenyir serta melihat sendiri keistimewaan Tasik Kenyir dan memahami kepentingan penjagaan, pemuliharaan sumber air dan juga alam sekitar demi kelangsungan kesejahteraan kehidupan pada masa hadapan.

“Setiap maklumat yang saya perolehi daripada program ini akan saya kongsikan dengan para pelajar dan guru di sekolah agar mereka lebih sedar tentang kepentingan memelihara sumber air negara dan alam sekitar,” ujarnya lagi.

Tambah Mazuin lagi, pendekatan yang dilakukan oleh pihak JPS Malaysia dan UNESCO-IHP Malaysia merupakan langkah terbaik bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan teknik mengurus sungai dan kawasan tadahan dikalangan agensi yang terlibat.

Selain itu, para peserta turut di bawa menerokai Gua Bewah, Santuari Kelah dan Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir.

Turut menyertai aktiviti penjelajahan sekitar Tasik Kenyir ini, Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu Mohd Sor Othman, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Air & Hidrologi JPS Malaysia Mohamad Shiham Ab. Ghapa dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPS Negeri Terengganu Osman Abdullah.

-SH

Tinggalkan komen anda