Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Karnival Kerjaya Medium Penuhi Keperluan Industri

By 22 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Norzaharuddin Kasimon/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Johor melihat penganjuran Karnival Kerjaya adalah antara salah satu medium yang tepat dalam mempertemukan keperluan industri dan pencari kerja di negeri ini di bawah satu bumbung.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, beliau melihat penganjuran karnival itu sebagai platform terbaik untuk meningkatkan kebolehpasaran para graduan termasuk para pelajar lepasan sekolah.

Aminolhuda Hassan melawat ke booth syarikat yang menawarkan pekerjaan.

Aminolhuda Hassan melawat ke booth syarikat yang menawarkan pekerjaan.

“Seperti Karnival Kerjaya Johor Bestari 2019 anjuran Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) ini, karnival ini merupakan kali ketiga yang dianjurkan pada tahun ini selepas kejayaan penganjurannya kali pertama di daerah Johor Bahru dan Tangkak dan hari ini Batu Pahat merupakan daerah ketiga.

“Sebenarnya, karnival seperti ini juga bertindak sebagai medan perkongsian maklumat dengan memberi pendedahan kepada golongan sasar iaitu pencari kerja dan para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan kemahiran (ILK) tentang senario Revolusi Industri Keempat (IRR4.0) yang diperlukan oleh dunia pekerjaan pada masa kini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Johor Bestari 2019 Daerah Batu Pahat di Pasar Raya Square One.

Antara syarikat yang turut mengambil peluang menyertai Karnival Kerjaya Johor Bestari.

Antara syarikat yang turut mengambil peluang menyertai Karnival Kerjaya Johor Bestari.

Turut hadir, Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abas dan Pengurus Besar SMI Saifuddin Abdul Rahim.

Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap peluang pendidikan kemahiran dan latihan vokasional yang berkualiti bagi menyokong pembangunan ekonomi di negeri ini dapat diteruskan berdasarkan kerancakan aktiviti pembangunan ekonomi di Johor.

“Sebagai contoh, kerancakan aktiviti ekonomi seperti di Wilayah Iskandar dilihat telah berjaya menarik pelaburan dengan nilai bilion ringgit selain Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang Johor.

“Hasil dari kemajuan pesat ini, maka sudah tentu akan berlaku peningkatan permintaan tenaga kerja mahir dan saya percaya pada masa akan datang, kerjaya di negeri ini akan lebih menjerumus kepada bidang kemahiran berbanding akademik,” katanya.

Menurutnya, adalah menjadi dasar kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja berpengetahuan dan berbakat yang akan mendorong Johor untuk lebih maju dan berdaya saing selain memastikan bekalan modal insan berbakat ini mencukupi.

Pada program tersebut, lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan daripada 24 agensi pelbagai industri pada karnival anjuran sehari bersama pusat JobsMalaysia Johor tersebut.

Nurhidayati Jumali, 25, yang berasal dari Parit Daun, Batu Pahat, berkata sebelum ini juga dia aktif mencari pekerjaan dengan menyertai pelbagai karnival kerjaya di sekitar daerah ini termasuk temuduga terbuka yang dianjurkan oleh industri.

“Kali terakhir saya menyertai karnival kerjaya seperti ini kira-kira dua tahun lalu di sekitar daerah Batu Pahat dan ketika itu, saya sedih kerana tidak dapat sebarang tawaran pekerjaan mungkin disebabkan saya tidak cukup pengalaman.

“Bagaimanapun, berbeza dengan kali ini apabila saya diterima bekerja dan terus menerima surat tawaran daripada majikan serta merta selepas menghadiri temuduga terbuka yang dianjurkan pada karnival kerjaya ini,” katanya.
-NI-

Tinggalkan komen anda