Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Kemalangan Lori Muatan Bahan Kimia Di Jambatan Pulau Pinang

By 25 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Abd. Aziz Osman/ Mohd.Zahari Zakari (Seberang Perai Tengah)

PERAI, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Pengguna jalan raya yang melalui Jambatan Pulau Pinang arah susur keluar ke Seberang Perai pagi semalam telah digemparkan dengan kejadian kemalangan ngeri yang melibatkan tiga buah kenderaan termasuk salah satunya sebuah lori tangki yang membawa bahan kimia. Kepulan asap kuning dan bunyi letupan menimbulkan suasana panik di kalangan mereka yang melihat kejadian ini.

Kejadian dikatakan berlaku apabila tayar lori muatan dipercayai bahan kimia tiba-tiba meletup dan melanggar belakang sebuah bas yang rosak di bahu jalan, manakala sebuah trak polis dari arah belakang juga tidak sempat mengelak dan merempuh belakang lori tangki bahan kimia tersebut hingga berlaku kebocoran.

Kepulan asap kuning dipercayai bahan kimia dari lori tangki

Kepulan asap kuning dipercayai bahan kimia dari lori tangki

Sepasukan bomba, khususnya dari unit HAZMAT dan hampir sepuluh buah ambulans berserta kenderaan polis tiba bagi melakukan operasi menyelamatkan mangsa. Seramai 4 orang didapati cedera parah, 17 orang cedera ringan dan pemandu lori muatan bahan kimia tersebut telah meninggal dunia di tempat kejadian. Kejadian juga mengakibatkan seorang anggota HAZMAT dari Balai Bomba Perai pengsan ketika sedang melakukan operasi menyelamat dipercayai akibat terhidu bahan kimia merbahaya dari lori tangki tersebut.

Anggota bomba turut memberi pertolongan kepada mangsa untuk diberi rawatan

Anggota bomba memberi pertolongan kepada mangsa untuk diberi rawatan

Namun apa yang berlaku bukanlah kejadian sebenar, kerana ianya hanyalah Latihan Simulasi Bencana Tumpahan Bahan Kimia di jalan raya yang dijalankan pada pagi semalam. Program anjuran PLUS bersama Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Tengah ini melibatkan 19 Agensi yang rata-ratanya terlibat dalam menangani situasi bencana di bawah Majlis Keselamatan Negara.

Antara agensi-agensi tersebut ialah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Bomba, Hospital, Polis, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Lebuhraya Malaysia, PLUS Berhad, NADMA, Angkatan Tentera Malaysia, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara, RELA, APMM, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, JKM, JKR, Edgenta Propel dan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.

Anggota paramedik memberi rawatan awal kepada mangsa

Anggota paramedik memberi rawatan awal kepada mangsa

Tuan Haji Wan Ahmad selaku Pengurus Perniagaan Wilayah Utara berkata “PLUS sebagai agensi yang terlibat dalam mengendalikan lebuh raya utara selatan perlu meningkatkan kesiapsiagaan sekiranya berlaku sebarang jenis kemalangan yang berlaku di atas lebuh raya mereka.” Beliau juga berharap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk turut mewajibkan syarikat-syarikat pengendali lebuh raya di Malaysia mengadakan aktiviti simulasi ini secara berkala sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku perkara-perkara seperti ini. Kesiapsiagaan yang dimaksudkan ialah dari segi Standard Prosedur Operation (SOP) termasuk dari segi logistik.

Mohd Sofandi Bujang selaku Pengarah Keselamatan Pejabat Ketua Pegawai Kerajaan Malaysia berkata “Program-program simulasi berkaitan keselamatan orang awam ini sememangnya menjadi saranan Unit Audit Keselamatan untuk diadakan secara berkala termasuk juga bencana alam. Selain bagi tujuan meningkatkan kecekapan anggota-anggota penyelamat, program simulasi ini juga bertujuan untuk meningkatkan tahap jaringan komunikasi kesemua agensi yang terlibat.

-II-

Tinggalkan komen anda