
Laporan/foto : Siti Nabila Bohari/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)
PONTIAN, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Pendidikan agama di Negeri Johor amat dititikberatkan bermula dari usia kanak-kanak lagi dan kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan keperluan kesemua sekolah agama sentiasa ditambah baik dari segi infrastrktur prasarananya.
Ini membolehkan anak-anak di negeri ini menikmati kelengkapan yang mencukupi sepanjang sesi pembelajaran.

Pendidikan Agama akan terus mendapat peruntukan dari kerajaan negeri -Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata sekolah agama merupakan institusi yang penting sebagai pemangkin akidah kepada anak-anak dan dengan adanya pendidikan agama yang secukupnya dapat membentuk anak bangsa yang cemerlang.
“Sistem pendidikan agama di negeri Johor merupakan yang terbaik di Asia Tenggara dan oleh itu, untuk memastikan anak bangsa Johor sentiasa mendapatkan pendidikan agama yang secukupnya, bermula Januari tahun hadapan satu bentuk kurikulum baharu akan diperkenalkan.”

Ketua Kampung kawasan 6, Mukim Rimba Terjun Pontian, Zazam Hashim menerima bantuan komputer riba dari kerajaan negeri.
“Silibus Sejarah Johor dan Kesultanan Islam Johor akan mula diperkenalkan dalam sistem pendidikan agama di negeri ini di mana kurikulum baharu ini diperkenalkan agar generasi baru Johor dapat menghayati dari peringkat awal sejarah negeri Johor dan sejarah kesultanan Johor sendiri,” katanya lagi.
Tambah beliau, sejarah negeri Johor dan kesultanan Johor tidak dapat dipisahkan dan ia diperkenalkan bukan disebabkan faktor penurunan penghayatan sejarah dalam generasi hari ini tetapi bagi menambahkan lagi nilai jati diri para pelajar.
Bagi memastikan semua pelajar mendapat pendidikan yang secukupnya serta infrastruktur prasarana yang lengkap dan memberi keselesaan kepada seluruh pelajar, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) akan memastikan kesemua pembinaan sekolah agama yang tergendala sebelum ini diteruskan dan berjalan lancar serta dapat disiapkan mengikut jadual.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, “pendidikan agama akan terus mendapat peruntukan yang selayaknya dari kerajaan negeri dan saya ingin anak-anak negeri Johor sentiasa mendapat pendidikan agama yang secukupnya.”
“Untuk menjadi yang terbaik, haruslah bermula dari didikan agama yang secukupnya dan saya akan berasa sedih jika terdapat anak-anak negeri Johor yang tidak tahu mengaji serta berharap dengan adanya sekolah agama semua pelajar tahu mengaji, dan mendapat pendidikan agama yang secukupnya,” ujar beliau semasa merasmikan Sekolah Agama Melayu Raya di sini.

Datuk Dr Sahruddin Jamal menandatangani buku pelawat semasa merasmikan Sekolah Agama Kerajaan Johor, Melayu Raya.
Dalam majlis tersebut juga, beliau turut menyampaikan bantuan 88 buah komputer riba kepada Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat di daerah Pontian.
Bantuan komputer riba ini adalah untuk memastikan Ketua-ketua Kampung dapat menjalankan tugas dengan lebih efisen serta menjalankan amanah yang telah diberikan sebaiknya demi kemajuan negeri ini.
-NI-