
Laporan/foto : Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Progam ‘Mobile Team Prihatin’ diadakan untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada masyarakat DUN Rengit khususnya di kawasan Parlimen Batu Pahat dalam menyelesaikan apa jua permasalahan yang dihadapi bersama jabatan-jabatan kerajaan.
Penyelaras DUN Rengit, Malik Faishal Ahmad berkata program ini merupakan hasrat kerajaan baharu dalam memudahkan segala urusan rakyat tanpa perlu menghadapi karenah birokrasi di mana pemimpin yang akan turun padang bertemu dengan rakyat bukannya rakyat perlu ke pejabat dan inilah hasrat kepimpinan dalam kawasan DUN Rengit.
“Saya melihat penglibatan beberapa agensi yang memberi perkhidmatan dan menyalurkan maklumat kepada masyarakat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pejabat Kesihatan Daerah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.”

Orang ramai tidak melepaskan peluang bertemu dengan agensi untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini.
“Berkenaan rebat e-kasih, saya berharap pihak kerajaan dapat menimbang semula tentang had kelayakan permohonan kerana syarat yang ada sekarang ini terlalu rendah pendapatan perkapitanya dan seandainya pihak kerajaan boleh timbal balik kelayakan bagi setiap perserta e-kasih masalah miskin atau miskin tegar dapat ditangani dan diberi bantuan dari segi kemudahan rumah atau pendapatan isi rumah,” katanya ketika ditemui di Perkarangan Pejabat Penyelaras DUN Rengit baru-baru ini.
“Pada masa kini, bantuan e-kasih kategori miskin menerima bantuan sebanyak RM240 seorang bagi setiap ahli keluarga manakala bantuan bagi kategori miskin tegar pula sebanyak RM139 untuk setiap ahli keluarga.
“Kawasan DUN Rengit telah mengenal pasti dua orang penduduk yang merupakan miskin tegar dan 17 orang dikategorikan sebagai miskin setakat bulan September 2019,” katanya.
Ujar Malik lagi, selain daripada program ‘Mobile Team Prihatin’ turut diadakan program ketua turun padang dan program Kaunter Wanita (KAWAN) yang diadakan khusus untuk memudahkan urusan yang membabitkan golongan wanita seperti permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Pembangunan Keluarga dan lain-lain.
“Harapan saya agar kawasan DUN Rengit yang kita telah kenal pasti sebagai kawasan pertanian diberi perhatian oleh pihak kerajaan terutamanya berkaitan isu-isu pertanian, harga-harga pasaran barang mentah dan langkah terbaik dalam meningkatkan pendapatan para petani sekaligus meningkatkan ekonomi Negara.
“Selain itu, dari semasa ke semasa saya akan membawa apa jua keperluan dan bantuan yang diperlukan oleh penduduk di kawasan DUN Rengit demi kesejahteran masyarakat di sini,” katanya.
Tambah beliau lagi, sebagai Ketua Whip Majlis Perbandaran Batu Pahat satu perbincangan bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat telah dibuat untuk meluaskan lagi zon perindustrian di kawasan DUN Rengit bagi membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.
Beliau turut berharap supaya sekolah-sekolah di kawasan DUN Rengit tidak akan berlaku lagi ketandusan pelajar seperti yang berlaku pada tahun lepas di mana terdapat kekurangan pelajar di sekolah tadika berikutan ramai anak-anak muda di kawasan DUN Rengit terpaksa berhijrah ke kawasan lain untuk mencari pekerjaan.
Nurasiah Darlan, 65, dari Senggarang datang ke program ini untuk mendapatkan khidmat dan maklumat dari jabatan kerajaan berkaitan e-suri dan beliau yang baru sahaja kehilangan suami 6 bulan lalu cuba untuk mendapatkan kemudahan atau bantuan-bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan terutamanya bantuan untuk ibu-ibu tunggal sepertinya.
Terdahulu Malik Faishal Ahmad telah menyampaikan sumbangan buku kepada 12 sekolah rendah dalam kawasan DUN Rengit untuk kegunaan murid dan guru di mana bantuan yang dihulurkan ini meliputi keseluruhan komuniti dan organisasi.
Antara jabatan kerajaan yang mengambil bahagian dalam program ini seperti Jabatan Kesihatan Daerah, Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nora Ismail, Majlis Agama Islam Johor, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Ir. Khairuddin A. Rahim.