Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
ALOR SETAR, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Debaran kian terasa apabila lima finalis diumumkan sempena Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung esok pagi.
Mereka adalah Jason Cheong Kah Lok (Pahang), Nur Syafiqah Mohd Paris (Selangor), Munirah Mohamad (Pulau Pinang), Mihamad Omar Suharuddin (Kelantan) dan Mohd Qhairol Iqhssan Yusof (Sabah).
Menurut Jason, beliau cukup teruja untuk berada bersama-sama pemidato hebat dalam peringkat akhir esok dan menyifatkan pemilihan ini sebagai satu rezeki buat dirinya.
“Antara strategi yang akan saya lakukan pada hari esok adalah melakukan penambahbaikkan pada isi penyampaian, persembahan serta menambah fakta-fakta terkini.
“Saya juga mengambil kira pandangan daripada juri untuk menambah fakta dalam isi kandungan dan persembahan perlu lebih lancar dan sempurna,” ujar peguam muda ini.
Seramai 15 orang peserta bertanding mewakili negeri dan wilayah masing-masing mempamerkan persembahan bertenaga dan penuh bermaklumat, dengan format pertandingan berbentuk pengucapan awam memberikan cabaran baharu buat peserta.
-SH