
Laporan/foto: Jeanne J Som/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 104 belia menyertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 6.0 dan Program Tunas Usahawan Baitulmal (TUB) Tahun 2019 yang diadakan selama 21 hari di Permai D’Valley, Tebobon.
Menteri Pembangunan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, program ini secara langsung menyokong pembangunan keusahawanan yang merupakan antara bidang tumpuan utama di masa hadapan.

Stephen (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Dayang Suhaila (dua dari kanan) dianugerahkan sebagai peserta “Rancangan Perniagaan Terbaik”.
“Ia juga menyumbang kepada peningkatan bilangan usahawan baharu serta memberi impak kepada ekosistem keusahawanan di Malaysia, sejajar dengan sasaran di bawah Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 iaitu memperkasakan keusahawanan sama ada di kalangan bumiputera, wanita, golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli.
“Selain itu, dalam Belanjawan 2020 pula sejumlah RM8 billion diperuntukkan untuk terus menyokong agenda pembangunan bumiputera meliputi bantuan latihan dan pendidikan serta pembiayaan melalui pelbagai program yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Stephen (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Mizal (tiga dari kanan), selepas diumumkan sebagai “Peserta Terbaik” disaksikan oleh Mohd Izham (kiri), Anis (dua dari kiri) dan Awang Nasib (dua dari kanan).
Tambah beliau, pada tahun 2019, sebanyak 164 program pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dengan peruntukan RM13.7 billion yang berjaya memanfaatkan 555,408 orang penerima.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dqn Penyelidikan, Datuk Stephen Sampil dalam Majlis Penutup Utama Program TUBE 6.0 dan TUB di Permai D’Valley, Tebobon, pada Sabtu.
Turut disampaikan adalah Anugerah Peserta Terbaik TUBE yang diberikan kepada Zairi Yusry sementara Rancangan Perniagaan Terbaik pula disandang Dayang Suhaila Asyikin Jun, masing-masing menerima RM1,000 ganjaran tunai.
Program di bawah kelolaan SME Corp Malaysia bertujuan untuk melatih para belia yang menceburi bidang perniagaan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Strategik Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Dr. Anis Mahmud, Pengarah Seksyen Pembangunan & Perhubungan Negeri SME Corp. Malaysia, Mohd Izham Abdullah dan Ketua Unit Kerjaya, Awang Nasib Yunus.
ER