Laporan/foto: Jeanne J Som/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Keberadaan graduan dalam masyarakat merupakan tulang belakang kepada pembangunan kerana kebijaksanaan mereka akan membawa kepada kemajuan negara.
Dalam konteks negara Malaysia, para graduan adalah tonggak kekuatan dan cerminan kepada apa yang akan terjadi kepada Malaysia hari esok.
Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, sebagai bakal pemimpin negara, ilmu adalah sangat penting buat masyarakat.
“Ilmu itu ‘pelita kepada kehidupan’ di mana individu yang mencari ilmu akan dipandang tinggi sejak zaman berzaman, serta menjadi rujukan masyarakat di sekeliling.
“Dalam hal ini juga, wujudnya bidalan, ‘ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk’. Oleh itu, para graduan hendaklah bijak dalam berfikir, tidak menunjuk dan bangga diri sehingga menyinggung perasaan orang tua dan masyarakat sekeliling,” katanya semasa mengisytiharkan Majlis Konvokesyen UMS ke-21 Tahun 2019.
Selepas pengisytiharan, Tun Juhar turut menyampaikan penganugerahan ijazah kepada graduan-graduan di Dewan Canselor UMS, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Tun Juhar juga menjelaskan peranan ibu bapa amat penting sebagai pembakar semangat dan mendorong anak-anak melanjutkan pelajaran meski terdapat halangan dan masalah yang dihadapi.
Majlis kali ini menyaksikan seramai 4,159 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma masing-masing sepanjang tiga hari majlis ini berlangsung.
Turut disampaikan adalah, Anugerah Pelajaran DiRaja yang diberikan kepada Mohd Hardyianto Vai Bahrun dari Fakulti Kejuruteraan dan Yeoh Ying Shim dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan.
Sementara itu, Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada Lim Pei Sing dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan manakala Pingat Emas Naib Canselor pula diberikan kepada Wong Jia En dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan.
Bagi Pingat Emas Alumni pula, diberikan kepada Yeoh Keng Hzou dari Fakulti Komputeran dan Informatik.
Hadir sama, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Tun Hin, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS, Duta dan Konsul, Naib-naib Canselor Universiti Awam, para ibu bapa dan ahli keluarga graduan.
ER