Laporan/foto: Asmidar Zainol/Ahmad Sarujin Seting (Nabawan)
NABAWAN, 13 Nov (Malaysiaaktif) – “Ahuhumaya Angivit Ra Tambiahg” yang membawa maksud ‘Muafakat Membawa Berkat’ dalam Bahasa Murut Tahol menjadi tema program Sepakat @ Komuniti anjuran Pejabat Penerangan Daerah Nabawan di Kampung Bahagia baru-baru ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Nabawan, Datuk Bobbey Suan, penganjuran program berkenaan bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi juga memperkasakan semangat perpaduan di kalangan komuniti khususnya masyarakat setempat.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada masyarakat Nabawan yang telah memberi kerjasama dan bertungkus lumus dalam memastikan program hari ini berjalan lancar dan berjaya dilaksanakan.
“Dengan adanya penglibatan dan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat pada program ini jelas menunjukkan perpaduan dan kesatuan antara kita masih utuh,”ujarnya.
Tambah Bobbey, kerjasama di antara Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) melalui Pejabat Penerangan Nabawan dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat adalah dipuji.
“Saya yakin penglibatan dan kerjasama segenap lapisan masyarakat hari ini dapat membantu Jabatan Penerangan mencapai objektif setiap penganjuran program yang dilaksanakan menunjukkan kesepakatan dan perlu diteruskan demi memastikan kemakmuran, kedaulatan dan kesejahteraan negara akan terus terpelihara.
“Saya percaya melalui program seumpama ini masyarakat di peringkat akar umbi secara tidak langsung dapat memperoleh maklumat dan menambah pengetahuan melalui komunikasi bersemuka,” kongsinya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JaPen Sabah, Wasrin Jakaria berkata, penganjuran program berkenaan juga adalah menghargai penglibatan dan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan, pihak media serta pihak komuniti sepanjang tahun 2019.
“Sebagai sebuah agensi yang dekat dengan masyarakat di akar umbi, kami amat memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin tempatan dan ketua-ketua jabatan agar program-program anjuran jabatan penerangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Tanpa sokongan dan kerjasama daripada mereka ini terutamanya dari Pejabat Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, NGO, rakan-rakan media serta orang perseorangan pasti agak sukar bagi kami khususnya Pejabat Penerangan Nabawan untuk melaksanakan segala program-program Indeks Prestasi Utama (KPI) jabatan,” ujarnya.
Sesuai dengan tema program berkenaan aktiviti gotong royong turut diadakan di perkarangan Masjid Al Huda, Kampung Bahagia pada hari pertama program dan diikuti majlis perasmian dan kenduri kampung pada hari kedua.
Ketua Kampung Bahagia B, Asok Angkaus yang ditemui berkata, program berkenaan bukan sahaja dapat mengeratkan lagi kerjasama dan hubungan di kalangan masyarakat tetapi secara tidak langsung dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan.
“Hari ini pelbagai pengisian turut di adakan oleh pihak penganjur di mana taklimat keselamatan dan kesihatan diberikan serta saringan kesihatan turut dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Mereka yang kurang berkemampuan turut diberikan sumbangan selain empat buah kipas turut diserahkan kepada masjid dan gereja bagi kegunaan bersama selain peralatan sukan yang boleh digunakan oleh golongan belia.
“Bagi pihak penduduk kampung kami berterima kasih kepada Pejabat Penerangan Daerah Nabawan kerana memilih kampung kami sebagai lokasi penganjuran program.
Semoga program-program sebegini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan,” ujarnya kepada pemberita.
Bagi suri rumah, Nora Noor, 34, beliau dan rakan-rakannya bangun seawal 4:00 pagi untuk penyediaan bahan-bahan memasak pada hari berkenaan.
“Sebenarnya, acara memasak beramai-ramai bukanlah asing kepada kami di kampung ini, tetapi kali ini ia agak istimewa kerana ia akan dijamu kepada Datuk Bobbey Suan serta Senator Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
“Hidangan yang disediakan agak lain daripada lain apabila kami menyediakan masakan tradisi Murut antaranya pucuk ubi bercampur jagung, ikan jeruk, asam ikan kering, sayur nangka, sambal jantung pisang bersama ikan bilis serta ayam masak merah dan ayam masak kicap.
“Perasaan memanglah gembira dan berpuas hati kerana dapat bersama rakan-rakan menyiapkan masakan dan menjamu selera beramai-ramai,” katanya.
Seramai hampir 200 orang hadir memeriahkan program berkenaan yang terdiri daripada penduduk kampung, ketua-ketua jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan, ketua-ketua kampung, ketua-ketua adat dan ramai lagi.
ER