
Laporan/ foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Chong Eng menggesa agar tiada kawasan yang dipinggir oleh Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah (PPD SPT) dalam memasarkan maklumat, dasar serta inisiatif kerajaan kepada kumpulan sasar di kawasan pinggir bandar, termasuk golongan B40 atau yang kurang pengetahuan mengenai internet.
“Kebanyakan warga dahagakan maklumat, namun seringkali mengambil keputusan untuk tidak ambil peduli inisiatif kerajaan,” kata beliau yang juga merangkap Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang ketika lawatan kerja ke PPD SPT baru-baru ini.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah SPT, Lizza Emelia, PPD SPT sentiasa menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat terutamanya tentang dasar-dasar kerajaan dalam usaha untuk membantu rakyat. Selain itu juga, pelbagai program telah diatur bagi mendekati masyarakat bertujuan memperluaskan lagi jaringan komunikasi sedia ada.
Menurut Mohd Zahari Zakaria, lawatan Exco Kerajaan Negeri merupakan julung-julung kali ADUN datang membuat kunjungan hormat ke pejabat ini. Lawatan ini juga telah menyuntik semangat beliau untuk lebih fokus dengan tugasan akan datang dan bersedia menghadapi cabaran dalam tugasan semasa.
Dalam pada itu, Jabatan Penerangan Malaysia akan terus menjadi penggerak komunikasi bersemuka di peringkat akar umbi dalam memastikan rakyat faham tentang dasar dan aktiviti kerajaan yang ada ketika ini. Setiap kempen kerajaan juga akan terus dipromosi dan diterjemahkan dalam program-program yang diadakan di setiap Parlimen dan DUN.
-II-