Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan fokus membangunkan negara pada tahun ini selepas kontroversi yang mengaitkan dirinya telah selesai.
Ia berikutan keputusan Peguam Negara pada Khamis lalu mengumumkan tiada pertuduhan yang akan dibuat dalam kes video intim yang didakwa melibatkan Azmin dan seorang individu lain pada Jun tahun lalu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kontroversi yang melanda dirinya itu sebagai suatu ujian getir yang berat namun akhirnya berjaya ditempuhi.
“Saya bersedia melalui proses yang dijalankan dan hari ini pihak berkuasa khususnya Peguam Negara yang mengumumkan Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara cadangkan tiada kes pertuduhan terhadap saya,” katanya.
Kini, Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak, berkata penyelesaian kes tersebut membolehkan dirinya memberi sepenuh tumpuan kepada tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya.
“Kini saya boleh tumpukan kepada kerja tugas yang telah diberikan kerana tahun ini amat penting kepada Malaysia yang menjadi tuan rumah Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik 2020 (APEC) pada hujung tahun nanti.
“Semua pihak khususnya pimpinan negara sedang bertungkus lumus membuat persiapan yang terbaik untuk menjadi tuan rumah APEC,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Naib Ketua Wanita PKR Pusat, Dr Daroyah Alwi.
-NAZ