Laporan/foto: Nurul Wahida Mohamad Noor (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Kanser serviks adalah kanser ketiga paling tinggi dihidapi wanita. Human Papilomavirus (HPV) adalah virus yang menyebabkan jangkitan kelamin yang boleh dijangkiti melalui hubungan seksual di mana setiap wanita adalah berisiko untuk dijangkiti dan mendapatnya.
Melalui kesedaran ini, telah diadakan Program Ujian Pangkal Rahim Secara Percuma bagi para wanita di Pulau Pinang, khususnya penduduk Permatang Pauh diadakan bertempat di Mydin Mall Bukit Mertajam.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. Beliau di dalam ucapannya telah menyarankan golongan wanita untuk melakukan pengesanan awal melalui HPV DNA yang merupakan kit ujian terkini yang diperkenalkan bagi mencegah berlakunya kanser serviks. Setiap wanita yang mendaftar akan dibekalkan dengan kit ujian HPV DNA dan mereka boleh mengambil sampel menggunakan kaedah persampelan sendiri. Keputusan kit ujian ini akan mengambil masa dalam tempoh tiga minggu dan akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Pengesanan ini turut boleh dilakukan secara rutin setiap tiga hingga lima tahun sekali sekiranya keputusan adalah normal.
Penerima yang layak bagi menjalani program rintis ini haruslah warganegara Malaysia atau penduduk tetap, wanita yang berumur 30 tahun hingga 65 tahun dan wanita daripada kalangan B40 dan M40.
Azizah Jaafar, 42, yang merupakan salah seorang peserta yang menggunakan kaedah HPV DNA berkata proses untuk mengambil sampel adalah sangat mudah dan tidak menyakitkan. Beliau berharap pendedahan yang lebih menyeluruh diberikan kepada golongan wanita bagi mencegah berlakunya kanser serviks.
Selain itu pelbagai acara sampingan turut diadakan antaranya senamrobik, kempen derma darah, pertandingan mewarna dan juga khidmat nasihat kesihatan secara percuma.
Turut hadir bersama Timbalan Ketua Eksekutif Prudential Takaful Berhad, Saifulrizal Wan Ismail dan selebriti Nur Heliza Helmi.
-II-