Skip to main content
Berita TengahHomePutrajaya

USIM Batal Program Pelajar ke China

By 29 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membatalkan program pengantarabangsaan pelajarnya ke China berkuatkuasa serta-merta berikutan perkembangan terkini penularan wabak Novel Koronavirus 2019 (2019 nCoV) yang semakin membimbangkan di China.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, keputusan itu dibuat oleh pengurusan USIM pada hari ini dan ia melibatkan program pengantarabangsaan ke Hong Kong.

“Larangan ini dikuatkuasakan demi membanteras penularan penyakit dan mengurangkan risiko kepada pelajar kerana USIM sentiasa memandang serius dan memberi keutamaan terhadap sebarang isu keselamatan dan kebajikan mahasiswanya pada setiap masa. Larangan ini adalah sehingga kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan semula.

“Program pengantarabangsaan utama pelajar yang akan terkesan secara langsung dengan langkah pembatalan ini ialah Program Global Islamic Student Outreach (GISO). Berdasarkan rekod oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) USIM, sebanyak 14 program GISO telah diluluskan untuk dilaksanakan bermula Januari hingga Ogos ini dengan lima daripadanya pada Februari,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, kumpulan pelajar yang terlibat telah dimaklumkan mengenai arahan pembatalan ini oleh BHEP dan penyelarasan sedang dibuat oleh kumpulan GISO yang terkesan.

USIM menyedari pembatalan ini akan menimbulkan kesulitan dan perkara yang berbangkit kepada kumpulan GISO yang terlibat.

“Justeru itu, pengurusan USIM telah meminta BHEP untuk menyediakan satu garis panduan khusus berkaitan pembatalan ini untuk dijadikan rujukan.

“Keputusan pembatalan ini juga adalah selari dengan pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media Ahad lepas setelah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Koronavirus, yang menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke China khususnya ke 13 wilayah berisiko dijangkiti wabak berbahaya berkenaan,” katanya.

Mohd Rushdan berkata, GISO yang diurusetiakan oleh BHEP adalah program pengembaraan yang menjadi signature kepada mahasiswa USIM yang telah dilaksanakan sejak 2011 dengan memfokuskan kepada aspek kesukarelawanan, pemindahan ilmu dan perkongsian budaya antara masyarakat antarabangsa di negara yang mereka lawati.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda